Saturday, 17 February 2018

Tenang di Desa Keroma Eco Resort

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR berkenan mencemar duli
merasmikan Desa Keroma Eco Resort pada awal tahun lalu.


MUAR 15 Feb. - Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipi tatkala me­labuhkan punggung di ke­ru­si batu yang disediakan di pondok rehat sehingga membuatkan sesiapa sahaja tidak mahu berganjak apatah lagi dihidangkan dengan pemandangan hijau yang menawan serta menyegarkan.

Malah, tidak keterlaluan sebaik sahaja pengunjung menje­jakkan kaki, mereka akan terasa seperti pulang semula ke suasana kampung sekitar 1990-an, namun diterjemahkan dengan fasiliti yang cukup lengkap.

Begitulah damainya suasana yang memukau di Desa Keroma Eco Resort yang terletak di Parit Keroma Laut, kira-kira tujuh kilometer dari Jambatan Sultan Ismail di bandar Muar.

Dilengkapi lapan buah calet yang dinamakan Rumah Seroja, Rumah Kesidang, Rumah Chempaka dan Rumah Kenanga, pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktiviti, terutamanya permainan tradsional yang semakin hilang ditelan zaman.

Resort yang berkeluasan kira-kira sehektar dengan mengete­ngahkan konsep back to nature itu sudah pasti menjanjikan 1,001 pengalaman kepada pengunjung yang menginap atau sekadar singgah untuk menghirup udara segar, di situ.

Mengekalkan seni bina tradisional seperti tingkap dan beberapa komponen lain, Desa Keroma Eco Resort amat sesuai bagi mereka yang mahu lari seketika daripada kesibukan kota atau mengadakan hari keluarga serta aktiviti seperti kursus, seminar mahupun majlis keramaian.

Sejak beroperasi September lalu, pemiliknya, Azwin Abdullah berkata, pihaknya menerima sambutan yang baik daripada orang ramai termasuk pe­ngunjung tempatan dan pelancong dari Singapura.

“Pada awal resort ini dibuka, beberapa kemudahan masih dalam proses pembinaan tetapi sudah ada pengunjung yang mahu menginap di sini kerana mereka tertarik dengan suasana damai serta mahu berkumpul beramai-ramai.

“Kami mengekalkan beberapa peratus persekitaran hijau daripada keseluruhan kawasan yang dimajukan, malah idea sama juga dilontarkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika baginda datang ke sini pada Januari lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengimbau semula pembukaan resort tersebut, anak jati Muar bersama-sama suaminya, Arizan Jamil menceritakan, idea tersebut datang secara spontan ketika mereka bercadang mahu memajukan kawasan itu menjadi dusun.

“Asalnya saya dan suami mahu jadikan tempat ini sebagai dusun untuk kami sekeluarga, tetapi apabila setiap hari datang ke sini, saya merasakan seperti ada sesuatu yang menarik harus di­teroka di sini.

“Malah, kami juga mendapati pada setiap hari terdapat sekawan bangau akan singgah seolah-olah seperti habitat haiwan itu yang secara tidak langsung menjadi daya tarikan Desa Keroma Eco Resort,” katanya.

Selain lapan buah calet yang dilengkapi fasiliti seperti bilik hotel, Azwin berkata, mereka juga menyediakan sebuah rumah besar yang dikenali sebagai Rumah Bangau untuk pengunjung yang berkeluarga atau hadir dalam kumpulan besar.

Terdapat juga bilik yang dinamakan Teratai, Melor dan Orkid di bahagian hadapan resort tersebut serta kawasan yang amat luas untuk pengunjung melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Memanah, bermain chapteh, boling kelapa, terompah gergasi, layang-layang dan melastik ha­nya sebahagian daripada permainan tradsional yang disenaraikan untuk pengunjung, terutamanya golongan muda yang membesar di bandar-bandar besar dan tidak berpeluang merasainya sebelum ini.

“Tetapi, jika pengunjung mahukan pengalaman yang lebih unik dan mengujakan, kami juga menyediakan aktiviti mandi lumpur, melawat pelantar kupang, mencari siput, memancing dan pelbagai lagi aktiviti semulajadi yang menjanjikan pengalaman menarik,” katanya.

Malah, ibu kepada lima cahaya mata itu memberitahu, terdapat juga aktiviti seperti mangrove tour, perkhemahan, menunggang ATV, barbeku, karaoke atau sewaan lokasi untuk majlis keraian.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, pihaknya sedang menyiapkan sebuah dewan untuk kegunaan pengunjung dan sebuah laman budaya bagi mempersembahkan tarian ghazal, kuda kepang dan zapin yang sinonim dengan masyarakat negeri ini.


“Jika diikutkan pada pelan yang dirancang, terdapat lima fasa projek Desa Keroma Eco Resort ini akan dibangunkan dan kini kami sudah memasuki fasa ketiga. Sekiranya tiada banyak halangan, kami akan sediakan beberapa kemudahan lain termasuk sebuah kolam renang dan rumah utama.
-utusan online.
https://www.facebook.com/desakeromaecoresort/  

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.