MAHKOTA Sultan Johor menjadi mercu tanda Muar
yang dikenali sebagai Bandar Diraja.
|
MUAR 8 Feb. - Sarapan pagi dengan menu sate kedengaran agak janggal bagi
penggemar makanan itu di kebanyakan kawasan lain, namun tidak bagi penduduk
Muar yang terletak di utara negeri ini.
Juadah wajib itu amat mudah didapati seawal pagi bersama-sama nasi lemak
atau kuih-muih yang lebih sinonim dengan pembuka selera masyarakat majmuk di
negara ini, tetapi itulah uniknya Muar yang berkeluasan lebih 2,300 kilometer
persegi.
Makanan enak yang lain juga mudah didapati di daerah ini seperti asam
pedas telur ikan mayong, mi bandung dan pelbagai lagi makanan tradisional
masyarakat setempat termasuk kopi 434.
Lantaran itu, peluang menjelajah ke beberapa destinasi pelancongan yang
diatur Tourism Johor dinikmati sepenuhnya oleh kira-kira 200 ahli Persatuan
Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) negeri ini dan Melaka
serta Persatuan Penulis Pelancongan Malaysia (TRAM) baru-baru ini.
Setibanya ahli rombongan di Pusat Informasi Pelancongan (TIC) di Laman
Oleh-Oleh Maharani, paluan kompang dan persembahan seni silat Muar menyambut
kedatangan mereka yang dibawa mengikuti program Fam Trip Pelancongan Muar
selama dua hari itu.
Selesai pelancaran Muar Travel Map 1.0, rombongan dibawa ke destinasi
pertama, iaitu lukisan potret mural 'The Loving Sisters' yang tersergam indah
dengan ketinggian 11.80 meter dan 9.75 meter lebar di Jalan Bakri yang turut
diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai lukisan terbesar di
negara ini pada Julai 2016.
Seterusnya, ahli MATTA kedua-dua negeri itu bersama-sama para penulis
pelancongan ditunjukkan pula mural bertemakan akar perabot dunia yang
menggambarkan betapa besarnya sumbangan eksport perabot negara oleh pemain
industri di daerah itu, sebelum peserta singgah sebentar melihat keunikan Kuil
Hindu di bandar ini.
Setelah pelbagai sudut gambar dirakam para peserta, perjalanan
diteruskan ke Pantai Leka di Parit Jawa yang terletak kira-kira 15 kilometer
dari Bandar Maharani Bandar Diraja untuk mengisi perut dengan menu asam pedas,
kupang berserta ulam-ulaman.
Sudah puas menghirup kuah asam pedas sehingga ke titisan terakhir, ahli
rombongan dipertontonkan pula persembahan tarian singa dan naga Kung Seng Keng
yang merupakan juara bertahan dalam Kejuaraan Dunia Tarian Singa.
Perjalanan menaiki bas yang diiringi anggota polis trafik bagi
melancarkan pergerakan pula ke Dataran Tanjung Emas untuk menyelusuri Sungai
Muar menaiki River Cruise dan melawat Muar Art Gallery.
Tetapi sebelum itu, rata-rata ahli rombongan terpukau seketika apabila
berpeluang singgah di tarikan terbaharu yang terdapat di Muar, iaitu Desa
Keroma Eco Resort yang terletak di Parit Keroma.
Keindahan pemandangan hijau dan keasyikan ditiup angin sepoi-sepoi
bahasa membuatkan ada antara mereka seolah-olah enggan berganjak di kawasan
seluas hampir satu hektar yang menempatkan beberapa buah chalet dengan pelbagai
aktiviti menyeronokkan seperti mandi lumpur dan melihat proses ternakan kupang.
Sebagai penutup pada hari pertama, jelajah yang turut disertai Pegawai
Daerah Muar, On Jabbar; Pengarah Tourism Johor, Abdul Malik Ismail dan
Pengerusi Persatuan Pelancongan Muar (MTA), Salehuddin Satar, para peserta
dijamu dengan sup istimewa di Amir Soup House yang juga antara 'signage' daerah
itu.
Keesokannya, setelah selesai bersarapan bersama-sama komuniti
pelancongan Muar di R&H Cafe Station, rombongan menyambung jelajah ke
Donhu Jurassic Garden yang dibuka secara percuma kepada orang ramai untuk
melihat replika dinasour yang pada asalnya hanya bertujuan untuk menghiasi
kebun pokok semaian.
Kira-kira sejam meluangkan masa di situ, perjalanan seterusnya adalah
ke Pagoh untuk melawat pusat semaian Tankok Leyong yang beroperasi sejak 1976
dan Ladang Herba Nasuha untuk mengetahui produk kesihatan di tapak sekitar
ladang dan menikmati menu nasi beriani herba bersama-sama pelbagai jenis
minuman kesihatan.
Destinasi terakhir, Galeri Darurat Bukit Kepong terletak kira-kira 35
kilometer dari Plaza Tol Pagoh yang dilawati peserta banyak memberikan maklumat
terutamanya pada zaman hitam negara diancam komunis yang pastinya menimbulkan
rasa syukur, khususnya bagi generasi muda hari ini.
Peristiwa berdarah 68 tahun lalu itu kekal menjadi detik mendebarkan
buat penduduk kampung ketika itu sehingga 25 anggota polis, isteri, anak dan
penduduk lain terkorban apabila dikepung kira-kira 185 pengganas komunis pada
23 Februari 1950.
Jadi, kepada anda yang belum ada destinasi hujung minggu untuk diisi
dengan kos yang minimum dan perjalanan tidak begitu jauh dari ibu negara,
mulakan carian google untuk ke tempat-tempat yang dinyatakan. Jumpa anda
hujung minggu ini!
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.