image: Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2017 facebook |
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin berkata sikap sedemikian menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong untuk datang semasa acara besar seperti Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).
"Malah sebelum saya menjawat jawatan ini lagi (ada) orang sudah mengatakan 'Jangan pergi ke Langkawi' semasa LIMA kerana harga makanan dan sewa kereta misalnya terlalu tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Malam Pelancongan Langkawi dan penerangan aktiviti-aktiviti LADA bagi tahun 2017 untuk pemain industri pelancongan di sini, Khamis malam.
Menurutnya, persepsi sebegini perlu dibendung di Langkawi kerana ini tidak membantu bagi menghadapi persaingan dalam industri pelancongan yang semakin sengit sekarang.
Azizan berkata pengusaha pelancongan dan peniaga makanan perlu mengekalkan harga yang berpatutan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan agar dapat bersaing dengan destinasi-destinasi pelancongan lain di dalam dan luar negara.
Katanya, beliau sedia bekerjasama dengan persatuan hotel dan agensi pelancongan tempatan bagi mengenal pasti kaedah sesuai untuk membendung kegiatan pengambilan untung yang melampau di pulau berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir berkata sebuah laman web akan disediakan untuk memudahkan pelancong mendapatkan maklumat tentang harga perkhidmatan dan penginapan di pulau ini.
Katanya, pelancong juga boleh mengemukakan sebarang aduan tentang perkhidmatan yang tidak beretika kepada persatuan itu supaya tindakan susulan dapat diambil.
Menurutnya, memang ada pengusaha pelancongan yang cuba mengaut keuntungan berlipat ganda dalam penganjuran-penganjuran LIMA yang lepas.
"Pada tahun ini kita mahu adakan LIMA yang terbaik dan pada masa yang sama pengunjung dapat merasakan harga-harga (perkhidmatan) yang ditawarkan menepati citarasa mereka," katanya.
LIMA 2017 akan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac ini dan dijangka menarik 40,000 pelawat dan anggota delegasi perdagangan dari 38 negara.
-Bernama.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.