KUALA TERENGGANU 29 Nov. - Wakil media di sini semalam diundang untuk merasai sendiri pengalaman sebagai peserta dalam sukan layar sempena kejohanan Piala Monsun yang akan bermula hari ini. Ia juga bagi memberi kefahaman kepada mereka tentang perjalanan dan format pertandingan semasa membuat liputan kejohanan bertaraf dunia itu kelak. Pasukan media bersaing bersama lima lagi pasukan dalam program pra piala Monsun yang dinamakan kejohanan Motour Tourism Cup, anjuran Pejabat Pelancongan Negeri.
Pasukan Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Terengganu (Tenaga) yang dianggotai pemandu pelancong muncul sebagai juara dengan mudah menewaskan pasukan Persatuan Hotel Terengganu (MAH) dalam pertandingan akhir. Turut serta, pasukan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu (DPMMNT). Kejohanan kali kedua ini dianjurkan dengan kerjasama T-Best Event Sdn. Bhd. dan turut dihadiri Penasihat Piala Monsun, Datuk Peter Gilmour.
Majlis penutup kejohanan tersebut di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyung berlangsung dekat sini petang semalam. Bercakap kepada pemberita, Pengarah Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abd. Ghani berkata, selain memberi kefahaman kepada media bagi memudahkan mereka membuat liputan, ia juga bagi menyedarkan mereka tentang potensi kejohanan ini dari sudut pelancongan. "Pengetahuan yang mendalam mengenai format kejohanan di kalangan pengamal media mampu memaparkan liputan berita yang mampu memberi kefahaman kepada masyarakat.
"Melalui program seumpama ini serta beberapa siri penerangan oleh pihak penganjur, tahap kefahaman pihak media serta penggiat industri pelancongan terhadap kejohanan ini semakin meningkat berbanding pada awal penganjurannya dahulu. "Ini kerana, mereka berperanan sebagai 'duta kecil' yang akan mempromosi kejohanan berprestij yang bakal memasuki edisi kelima melalui tulisan berdasarkan pengalaman mereka sendiri di arena perlumbaan sebenar," katanya. Tambah Ahmad Fathil lagi, pengalaman yang dilalui oleh para peserta boleh dijadikan sebagai aset untuk mempromosikan kejohanan Piala Monsun berdasarkan penghayatan mereka sebagai peserta. "Di samping menjalinkan hubungan erat antara penggiat industri pelancongan dengan pihak media, kejohanan ini sebagai inisiatif pihak penganjur untuk memberikan pendedahan awal," katanya.
-Utusan Online.