PUTRAJAYA,
22 APR 2020: Untuk menggalakkan
rakyat Malaysia menggunakan masa secara positif sepanjang Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP), Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan
Budaya menganjurkan Pertandingan Penghasilan Video Muzik Pendek bertemakan
pelancongan dari 18 hingga 28 April 2020.
Pertandingan ini menawarkan peluang unik
untuk rakyat Malaysia mempamerkan bakat serta kreativiti dalam mempromosikan
pelancongan di Malaysia tanpa perlu meninggalkan rumah masing-masing.
Penyertaan boleh dibuat secara berkumpulan
atau individu di mana peserta boleh memilih dari tiga kategori iaitu nyanyian,
bermain alat muzik atau melakonkan sebuah sketsa mengenai pelancongan di
Malaysia. Setiap muzik video perlu menggunakan lagu ‘Cuti-Cuti Malaysia’ atau
lagu ‘Visit Truly Asia Malaysia’ yang boleh dimuat turun dari laman web rasmi
Tourism Malaysia.
Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada
semua warganegara Malaysia dengan harapan untuk menggalakkan rakyat Malaysia
mempromosi produk pelancongan di Malaysia dengan menggunakan media sosial.
Tiga pemenang terpilih akan membawa pulang
pakej pelancongan 3 Hari 2 Malam yang meliputi tiket penerbangan pergi balik,
penginapan serta transfers dan tours. Pemenang boleh memilih sendiri destinasi
pelancongan pilihan di Malaysia.
“Menyedari situasi PKP pada masa ini,
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia mengajak
rakyat untuk berkarya dengan penganjuran pertandingan ini. Dalam mempromosikan
Malaysia, peserta juga dapat menunjukkan bakat serta idea kreatif melalui
platform digital yang luas capaiannya,” ucap Menteri YB Dato’ Sri Hajah Nancy
Shukri di dalam video promosi pertandingan.
Untuk maklumat lanjut termasuk terma dan
syarat pertandingan, sila layari laman web Tourism Malaysia melalui pautan
berikut: https://www.malaysia.travel/en/my.
-Tourism Malaysia.
wow, komplit infonya. makasih kak
ReplyDelete