Sunday 19 April 2020

Malaysia Ke Arah Destinasi Pilihan Pelancongan Islam


PUTRAJAYA, 17 APRIL 2020 - YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Hajah yakin Malaysia akan menjadi destinasi pelancongan Islam tumpuan dunia pada masa hadapan. Segmen pelancongan Islam di Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang positif dan memberansangkan dengan peningkatan dari aspek sumbangan kepada ekonomi dan juga kehadiran pelancong ke Malaysia. Segmen pelancongan Islam pada tahun 2019 telah berjaya menjana pendapatan RM16.72 bilion dengan anggaran jumlah kedatangan pelancong Muslim seramai 5.32 juta orang.

Pendapatan pelancongan Islam pada tahun 2019 telah meningkat sebanyak 0.72% dari RM16.60 bilion pada tahun 2018 ke RM16.72 bilion. Jumlah ketibaan pelancong Muslim juga turut meningkat dengan pertambahan 1.48% iaitu 5.25 juta orang pada tahun 2018 kepada 5.33 juta orang pada 2019.

Penyumbang utama pendapatan pelancongan Islam ialah negara Indonesia dengan pendapatan sebanyak RM7.3 bilion diikuti Singapura (RM2.9 bilion), Brunei (RM2.2 bilion), Arab Saudi (RM1.3 bilion), India (RM514 juta), Pakistan (RM442 juta), Iran (RM396 juta), China (RM276 juta), Oman (RM187 juta) dan Thailand (RM170 juta).

Pasaran pelancong dari negara Indonesia sekali lagi menjadi penyumbang utama kepada kedatangan pelancong Muslim ke Malaysia iaitu seramai 2,053,673 orang diikuti negara Singapura (1,422,943), Brunei (958,305), Bangladesh (158,236), Arab Saudi (112,943), India (104,414), Pakistan (101,950). Thailand (81,025), China (56,057) dan Iran (46,280).

Secara keseluruhan pasaran negara ASEAN merupakan pasaran utama pelancongan Islam dan merupakan penyumbang tersebar dalam segmen ini iaitu sebanyak RM12.7 billion. Ini diikuti dengan pasaran Asia Barat (RM2.1 bilion) dan pasaran Asia Selatan (RM1.1 bilion). Pusat Pelancongan Islam (ITC) telah melaksanakan pelbagai program termasuk latihan, pemasaran dan publisiti dalam dan luar negara disamping memperkenalkan Pengiktirafan Premis Penginapan Mesra Muslim (Muslim Friendly Accommodation Recognition - MFAR). Malahan, Malaysia juga telah diiktiraf sebagai tempat pertama dalam Laporan Global Muslim Travel Index dan destinasi Muslim Mesra-Wanita dalam Laporan Muslim Women in Travel oleh MasterCard dan CrescentRating pada tahun 2019.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Pusat Pelancongan Islam (ITC) akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkat dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam. Tambahan pula, segmen pelancongan Islam merupakan salah satu segmen yang penting bagi Kementerian ini untuk membantu serta memulihkan industri pelancongan negara. YB Menteri juga akan mengkaji skop dan fungsi ITC supaya peranannya dapat diperluaskan dengan fungsi yang lebih efektif dan holistik. Ini bagi memastikan industri pelancongan Islam terus diberi perhatian dan diperkasakan agar dapat memberikan impak yang signifikan kepada sosio-ekonomi negara. Beliau juga turut mendoakan agar COVID-19 dapat berakhir dengan segera serta berharap semua rakyat dapat memainkan peranan dengan mematuhi PKP dan #stayhome. Akhir kata Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak pada 1 Ramadhan 1441H.
-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.