Sunday, 19 May 2019

Edisi Emas Perak Century Ride 2019 pada 30 Jun


IPOH 17 Mei - Acara berbasikal berstatus Century Ride nombor satu di Malaysia, Perak Century Ride (PCR) kembali lagi untuk edisi kelima yang akan berlangsung pada 30 Jun ini.
Menurut Pengerusi Program PCR 2019, Sharudin Not, edisi emas PCR 2019 yang bertemakan ‘menggalakkan budaya sukan dalam aktiviti berbasikal, rekreasi dan pelancongan’ menyasarkan 1,500 peserta dari dalam dan luar negara.
Katanya, sejak pendaftarannya dibuka pada 1 Februari lalu, sambutan yang diterima untuk kayuhan sejauh 160 kilometer itu amat menggalakkan.
“Pendaftaran masih lagi dibuka sehingga 30 Mei ini. Keterangan lanjut dan maklumat terkini mengenai PCR 2019 boleh diperoleh di Facebook rasmi penganjur, Perak Century Ride 2019.
“Segala keterangan dan pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web http://www.ticket2u.com.my/event,” katanya.
Menurut Sharudin, kayuhan yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Berbasikal Levelo Perak itu akan bermula dan berakhir di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di Gopeng dekat sini.
Katanya, dari RTC Perak Gopeng, para peserta akan melalui Batu Gajah (Kellie Castle), Highway Bemban, Expressway Ipoh Lumut, Bota Kanan, Lambor Kanan, Kampung Gajah, Sungai Manik, Chenderong Balai, Tanjung Tualang, Malim Nawar, Kuala Dipang, Gopeng dan berakhir di RTC Gopeng.
“Laluan kali ini agak landai yang membolehkan para peserta menikmati pemandangan menarik di sepanjang laluan kayuhan.
“Ini sejajar dengan matlamat acara ini yang bertujuan mempromosikan negeri Perak sebagai destinasi sukan berbasikal dan pelancongan di mata dunia,” katanya.
Beliau turut berkata, penganjur akan mengekalkan penganjuran terbaik seperti mana empat edisi PCR sebelum ini mendapat pujian banyak pihak.
“Ini merupakan cabaran buat kami dan mahu mengekalkan pengiktirafan yang diberikan menerusi kawalan oleh polis trafik dan marshal yang berpengalaman bagi memastikan peserta dapat berkayuh dengan lancar dan selamat,” katanya.

PCR 2019 mendapat kerjasaman dan sokongan daripada kerajaan negeri Perak, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Perak, Fama dan Persatuan Berbasikal Perak.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.