Jika mahu mencari ruang privasi untuk merehatkan diri
daripada kesibukan kerja atau masa santai bersama ahli keluarga, Felda
Residence Hot Spring (FRHS), Sungkai, Perak wajib dimasukkan ke dalam senarai
pilihan percutian anda.
Dengan perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu
jam 30 minit dari ibu kota, pengunjung yang menginap di situ bukan sahaja dapat
menikmati percutian yang cukup menenangkan malah ia juga merangkumi percutian
berkonsepkan kesihatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Felda Travel Sdn.
Bhd. (Felda Travel), Nora Azmin Radzuan, kebanyakan pengunjung menggemari
lokasi percutian itu kerana hanya dalam satu tempat yang sama, mereka dapat
melakukan pelbagai aktiviti.
“FRHS terdiri daripada 64 bilik hotel pelbagai jenis
serta 18 villa persendirian. Di dalam villa persendirian itu pula, turut
disediakan jakuzzi yang boleh mengeluarkan buih serta mampu mengawal suhu panas
dan sejuk.
“Selain itu, kebanyakkan air yang disalurkan ke
seluruh FHRS terutamanya bagi kegunaan kolam mandian atau jakuzzi itu datangnya
daripada sumber mata air asli yang terdapat di sekeliling kawasan tersebut,”
katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Air panas semulajadi
Di FRHS, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati
kesegaran alam secara semulajadi malah detik berjalan di atas titian kayu
pelantar berukuran 200 meter pasti akan meninggalkan memori yang tersendiri
apabila asap-asap hangat dari mata air panas menyapa tubuh.
Seorang kakitangan berpengalaman di situ, Said Saad berkata,
pondok ‘Natural Sauna’ yang berada di tengah-tengah laluan itu memberikan
peluang kepada pengunjung menikmati rasa sauna sebenar.
“Kawasan ini memiliki hampir 200 punca mata air panas
dan dengan izin Allah dipercayai, sumber air panas di sini mempunyai
unsur-unsur penyembuhan untuk beberapa jenis penyakit seperti masalah kulit,
tekanan, lenguh-lenguh badan dan otot.
“Pernah ada seorang lelaki yang menghidap strok datang
ke sini suatu masa dahulu. Pada mulanya, anggota badannya tidak berasa apa-apa namun
setelah berendam dalam tempoh yang agak lama, dia mengeluarkan peluh dan
darahnya mula mengalir lancar,” katanya.
Dia yang mula berkhidmat sejak pembukaannya pada 2003
berkata, kaedah mandi atau berendam di kolam mata air panas memang boleh
memberi rasa kelegaan tetapi dengan syarat, tidak melebihi 30 minit dalam satu
masa.
Penulis juga diberitahu bahawa air panas di situ
mempunyai kandungan sulfur atau belerang dan apabila ia mengalir keluar dari
rekahan batu granit, sulfur akan mendap menjadi alga dan alga itu boleh
dijadikan skrub untuk mencerah dan melembutkan kulit muka.
Aktiviti riadah
Tidak jauh dari situ, terdapat kolam bersuhu di antara
30 hingga 100 darjah celcius dan pengunjung boleh mencuba aktiviti merebus
telur hanya dengan menggunakan air panas tersebut.
Telur yang dimasukkan ke dalam kolam itu akan
dibiarkan beberapa ketika dan uniknya, telur yang dimasak akan tidak hanyir
kerana kolesterol yang terdapat dalam telur itu disingkirkan secara semula
jadi.
Selain mencuba aktiviti itu, pengunjung berpeluang
menyaksikan panorama indah bukit-bukau yang menghijau serta perkampungan orang
asli yang menarik, pengunjung boleh menikmatinya dengan cara berjalan kaki,
menunggang basikal atau All Terrain Vehicle (ATV).
Jika memilih untuk menunggang ATV, pengunjung akan
dibawa melalui kawasan off-road, perkampungan orang asli, pinggiran sungai
serta air terjun yang cukup menenangkan.
Penginapan yang berbaloi
Dengan keluasan 6.5 hektar, Felda Residence Hot Spring
nyata memberikan pengalaman unik kepada pengunjungnya serta menjanjikan suasana
yang bebas dari keadaan hiruk-pikuk dan berkecamuk.
Lokasinya yang jauh dari kota dan dikelilingi alam
semulajadi yang sangat mengujakan, ia bukan saja menawarkan keseronokan menghabiskan
masa di kolam air panas malah turut menjanjikan ketenangan yang serba
mendamaikan.
Oleh itu, orang ramai yang berminat untuk merasai air
panas semula jadi di Felda Residence Hot Springs boleh menghubungi talian
05-4388801/ 8803 atau layari laman web www.feldatravel.com.my untuk maklumat
lanjut.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.