SUASANA santai di sekitar kawasan peranginan Gunung Pulai. |
KULAI 28 Sept. - Kedinginan air jeram yang mengalir di kaki Gunung Pulai
setinggi 654 meter terasa nyaman sekali.
Deruan air yang mengalir ke hilir kaki gunung disulami bunyi unggas
berterbangan membuatkan hati menjadi begitu tenang.
Pengalaman mengunjungi Hutan Lipur Gunung Pulai, di sini baru-baru ini
ternyata menggamit perasaan terutamanya bagi mereka yang ingin lari daripada
kesibukan kota.
Terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Bandar raya Johor Bahru dan
hanya 10 km dari susur keluar Plaza Tol Kulai, pengunjung akan melalui Kampung
Sri Gunung Pulai yang menjadi ‘pintu masuk’ ke hutan lipur berkenaan.
Selain keindahan alam sekitar dan airnya yang jernih, hutan lipur ini
menjadi tarikan bagi mereka yang gemarkan aktiviti sukan lasak terutamanya
jungle tracking dan mendaki gunung.
Bagi mereka yang ingin bersantai pada cuti hujung minggu, ia adalah
destinasi yang tidak memerlukan perbelanjaan besar untuk bersama-sama seisi
keluarga.
Sudah puas melakukan aktiviti di dalam hutan lipur, pengunjung boleh
mengelilingi Kampung Sri Gunung Pulai bagi merasai suasana desa.
Sama ada menaiki kenderaan sendiri atau berjalan kaki dan berbasikal,
jangan lupa singgah bagi melihat perusahaan kecil sederhana (PKS) yang
diusahakan penduduk kampung antaranya cendawan dan kerepek pisang.
Sekiranya cuaca panas terik, empangan dibina di hilir jeram pastinya
akan menyejukkan suhu badan bagi yang ingin berendam.
Andai ada yang ingin merasai suasana bermalam di kampung, pengunjung
boleh menginap di chalet dan inap desa yang terdapat di kampung tersebut.
Janganlah malu untuk menyapa penduduk kampung yang ramah kerana
sekiranya memerlukan sebarang bantuan, pastinya mereka akan memberikan
pertolongan dengan seikhlas hati.
Apa yang pasti, pengalaman dan hospitaliti yang akan dirasai pengunjung
yang pernah datang ke sini pastinya tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Bagi pengunjung yang ingin bermalam di Gunung Pulai, D’ Cabin Chalet
Gunung Pulai yang diusahakan Koperasi Sri Sekawan Kulaijaya Berhad dan
beroperasi sejak awal tahun lalu pastinya menjanjikan kelainan.
Pengurus koperasi, Mohd. Razi Razak berkata, chalet tersebut dibina dua
tahun lalu selepas mendapat peruntukan RM1.3 juta menerusi Program Desa Lestari
daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
“Terdapat 20 chalet termasuk sebuah berstatus VIP yang dilengkapi dengan
kemudahan asas seperti katil, bilik air dan pendingin hawa.
“Chalet tersebut terletak di beberapa lokasi berbeza di atas tanah
penduduk yang juga ahli koperasi seperti di tepi sungai, kebun dan dusun
buah-buahan.
“Bagi pakej ini tiga hari dua malam, pelanggan akan merasai pengalaman
berbasikal mengelilingi kampung, mengadakan BBQ dan lawatan ke ladang nanas,
madu kelulut dan industri kecil sederhana (IKS) cendawan.
“Bagi pakej dua hari satu malam pula tidak disediakan aktiviti lawatan
kerana waktu yang terhad. Namun mereka masih boleh melakukan aktiviti lain
seperti jungle
tracking mahupun
berjalan kaki ke kawasan air terjun yang hanya mengambil masa 10 minit” katanya
kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Razi, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan
bukan sahaja daripada pengunjung dan pelancong luar, malah daripada agensi
kerajaan dan swasta serta sekolah.
Justeru, pihaknya turut menyediakan 20 buah khemah kerana turut menjadi
pilihan bagi penganjuran kem motivasi dan bina semangat.
Pengunjung yang ingin menginap di calet ini boleh menghubungi
016-7748083 dan 017-769 9476.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.