Raja Muda Perlis (dua dari kiri) dan Raja Puan Muda Perlis (tiga
dari kiri) ketika pelancaran Promosi Masakan Perlis di Geneva, Switzerland. -
Foto ihsan YTSP Perlis
KUALA LUMPUR: Perlis bakal menyaksikan kemeriahan pelbagai program
dan acara pelancongan menarik sepanjang Mac dan April ini bersempena Tahun
Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,
rangkaian acara disusun secara strategik ini merangkumi segmen keagamaan,
pertanian, kesenian, sukan serta program komuniti.
"Semua acara yang disusun ini diyakini mampu menarik kehadiran
pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus merancakkan lagi sektor
pelancongan serta pertumbuhan ekonomi tempatan," titah baginda melalui
kenyataan dikongsi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis hari ini.
Baginda bertitah demikian sempena pelancaran Promosi Masakan Perlis
yang diadakan di Geneva, Switzerland yang dianjurkan bersama Pejabat Perutusan
Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva oleh Yayasan Tuanku
Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama
Yayasan Harmoni serta Duwan Easy Eat.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul
Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda-anakanda baginda berdua, Sharifah
Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Waris
Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama ialah Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Geneva, Datuk
Nadzirah Osman serta Timbalan Wakil Tetap Malaysia merangkap Menteri Penasihat,
Suraya Ahmad Pauzi.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, dalam bulan Mac suasana Ramadan akan
diserikan dengan penganjuran pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan.
Antaranya Program Raudhatul Iktikaf pada 10 hingga 20 Mac 2026,
Majlis Rukyah Hilal Syawal pada 18 Mac 2026, Program Jom Ramadan di Perlis dari
19 hingga 20 Mac 2026, serta Solat Aidilfitri di Perkarangan Dataran Istiadat
Istana Arau jika cuaca mengizinkan pada 1 Syawal nanti.
Titah baginda, penganjuran semua program ini bukan sahaja
memperkukuh nilai spiritual dalam kalangan masyarakat, malah memberi peluang
kepada pelancong untuk merasai sendiri keindahan serta kemeriahan sambutan
Ramadan dan Aidilfitri di Perlis dalam suasana penuh harmoni.
"Memasuki April pula, kalendar pelancongan terus rancak dengan
penganjuran Perlis Mango Agriculture Fest pada 4 hingga 5 April yang
mengetengahkan keunikan Harumanis serta pelbagai produk agro tempatan
berkualiti.
"Seterusnya, Perlis Agrofest Tahun 2026 yang berlangsung 24
hingga 26 April berperanan sebagai platform komprehensif dalam mempromosikan
sektor pertanian, penternakan dan industri asas tani negeri.
Kemeriahan berterusan
"Pada masa sama, Perlis International Marathon (PIM) 2026 bakal
berlangsung 25 April dijangka menarik penyertaan pelari dari dalam dan luar
negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Perlis sebagai destinasi penganjuran
acara sukan bertaraf antarabangsa.
"Turut memeriahkan bulan April ialah Konsert Orkestra Diraja,
Perkampungan Sunnah, Pesta Taman Cahaya, dan Festival Kopi yang menambah
kepelbagaian tarikan kepada pengunjung," titah baginda.
Dalam pada itu, Nadzirah memaklumkan Majlis Rumah Terbuka bersama
diaspora Malaysia dan Wakil-Wakil Tetap serta Duta Besar asing ke PBB di Geneva
akan diadakan untuk meraikan ketibaan Syawal.
Semasa program itu, promosi makanan dan pelancongan ke Malaysia akan
diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di mana juadah kurma daging 'Ready
To Eat' dari Perlis akan turut diperkenalkan.
"Hidangan warisan negeri Perlis ini akan diketengahkan sebagai
antara ikon kulinari yang diangkat ke pentas antarabangsa, memperlihatkan
keunikan cita rasa tradisional negeri ini kepada khalayak global,"
katanya.
-berita harian online.