Thursday 29 August 2024

Sabah diberi kuasa laksanakan program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku

 

Christina (tengah) menyaksikan penyerahan surat hasrat perwakilan kuasa pelaksanaan program Sabah-MM2H oleh Roslan kepada Mei Sing di Kota Kinabalu, semalam. - Foto Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah diberi kuasa untuk melaksanakan program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H) yang sebelum ini diurus Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).


Ia berikutan penyerahan rasmi surat hasrat perwakilan kuasa kepada kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), semalam.


Surat hasrat itu diserahkan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, KEPKAS, Josie Lai Mei Sing.


Penyerahan itu disaksikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, selepas mesyuarat KEPKAS dan MOTAC yang berlangsung di sini, semalam.


Ia susulan mesyuarat khas di antara Christina dan MOTAC di Kuala Lumpur pada Julai lalu, yang mana Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan mengenai penurunan kuasa penuh kepada Sabah untuk melantik ejen negeri bagi program Sabah-MM2H.


Christina berkata, dengan perwakilan kuasa pelantikan ejen kepada negeri ini, program Sabah-MM2H akan berada di bawah pengurusan KEPKAS.


"Perwakilan kuasa ini merujuk kepada pelantikan ejen oleh KEPKAS, pemantauan ejen, dan penguatkuasaan program. KEPKAS mempunyai garis panduan sendiri untuk pelantikan dan pengeluaran lesen kepada ejen.


"Ejen ini perlu mendapatkan lesen untuk beroperasi dan membantu pelanggan dalam memohon penyertaan dalam Sabah-MM2H.


"Kabinet Negeri juga sudah meluluskan terma dan syarat untuk penyertaan dalam program itu," katanya.


Hadir sama pada mesyuarat itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan) Surya Kumar A/L Subramaniam; Timbalan Setiausaha Tetap KePKAS I, Mary Malangking; Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Alesia Sion; Pengarah MOTAC Sabah, Ibrahim Othman dan Penolong Setiausaha Kanan KePKAS, Norita Tani.


Christina berkata, jawatankuasa negeri yang menyelia operasi Sabah-MM2H dipengerusikan oleh menteri dan ia akan bermesyuarat secara berkala untuk menapis permohonan sebelum mengeluarkan pas MM2H kepada pemohon yang berjaya.


"Pada masa ini KEPKAS sedang dalam proses menerima dan memproses permohonan ejen yang berkelayakan untuk pelantikan yang diperlukan," katanya.


Program Sabah-MM2H diluluskan secara prinsip oleh Kerajaan Sabah pada Februari 2023 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Jun lalu.


Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Christina mengumumkan pengambilalihan kuasa pengurusan Buangan Terjadual daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS) mulai Januari 2026.


Katanya, pengambilalihan kuasa itu selaras dengan penurunan kuasa secara autonomi kepada negeri ini berkaitan persetujuan Kerajaan Persekutuan menurunkan kuasa kepada Kerajaan Sabah di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung alam sekitar.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.