KUALA LUMPUR, 25 Oktober
2024 – Kempen Cuti-Cuti Malaysia kini tidak lagi berkisar percutian
semata-mata apabila buat julung-julung kalinya Tourism Malaysia bekerjasama
dengan Kraftangan Malaysia serta lain-lain agensi di bawah MOTAC bagi menyuntik
perspektif baharu dalam mempromosikan pelancongan domestik menerusi
penggabungan aktiviti kraf, seni, budaya dan warisan tempatan.
Bertemakan “Crafting Holidays”, penganjuran Karnival Cuti-Cuti
Malaysia (KCCM) 2024 yang berlangsung dari 25-27 Oktober 2024 di Kompleks Kraf
Kuala Lumpur, bukan sahaja menawarkan lebih 200 jualan pakej pelancongan dengan
tawaran diskaun antara 15 sehingga 50 peratus, malah menyajikan pelbagai
demonstrasi dan jualan kraf serta makanan warisan.
Turut dilancarkan ialah Pakej Kompleks Kraf yang menawarkan
lawatan berpandu berkumpulan serta aktiviti interaktif kraf di empat buah
kompleks kraf iaitu Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Langkawi,
Kompleks Kraf Johor dan Kompleks Kraf Melaka. Kesemua pusat kraf setempat
tersebut memiliki tarikan tersendiri merangkumi komponen seperti Pusat Jualan
Kraf, Muzium dan Galeri Kraf Warisan, Perkampungan Kraf, Perkampungan Pelukis,
Taman Etno Kraf dan Taman Madu Kelulut. Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan
atau menyertai demonstrasi dan aktiviti interaktif kraf seperti anyaman rotan,
kraf batik, seramik, copper tooling dan pembuatan kompang.
Untuk memudahkan para pelancong merancang percutian serta
mendapatkan produk kraf di setiap negeri, aplikasi Craft On The Go (COTG) turut
boleh dimuat turun serta dimanfaatkan oleh pengguna bagi mengetahui maklumat
berkenaan profil usahawan, butiran produk, lokasi pusat jualan (outlet) serta
akaun media sosial mereka.
YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri
Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, sejak tahun 1999, Tourism Malaysia telah
mempromosikan penjenamaan kempen Cuti-Cuti Malaysia yang bertujuan mengajak
rakyat Malaysia untuk bercuti di dalam negara secara terancang dengan
memanfaatkan tawaran pakej istimewa yang dipromosikan sewaktu penganjuran
pameran jualan pelancongan.
Beliau berkata, penganjuran KCCM 2024 yang menawarkan pengalaman
unik dalam aktiviti kraf, seni, budaya dan warisan tempatan, diharap dapat
merancakkan lagi pergerakan pelancongan domestik (interstate dan intrastate)
sekali gus berupaya merangsang kunjungan pelawat domestik serta peningkatan
ketibaan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pada tahun 2024, kementerian telah menetapkan sasaran seramai
221 juta pelawat domestik dengan jangkaan perbelanjaan domestik sebanyak RM92.7
bilion. Setakat Januari sehingga Jun 2024, prestasi pelancongan domestik
merekodkan perkembangan positif apabila mencatatkan 127 juta pelawat domestik
dengan perbelanjaan pelancongan domestik sebanyak RM52.2 bilion.
“Angka ini disasarkan akan terus meningkat kepada 241 juta
pelawat pada tahun 2025 dan seterusnya kepada 261 juta orang pada tahun 2026
dengan jangkaan perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM115.2 bilion,”
katanya.
Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan kepada para
pengunjung merangkumi aktiviti pengembaraan seperti jelajah warisan, sukan air,
selam skuba, birding dan stargazing serta pakej penginapan, alam semula jadi,
taman tema dan pengalaman budaya.
Selain menampilkan Pasar Saloma yang bertemakan perkampungan
Melayu klasik dengan lebih 30 reruai menawarkan pelbagai juadah tradisional,
kuih-muih dan produk kraf, para pengunjung turut berpeluang menyaksikan
persembahan artis, tarian kebudayaan, pertunjukan roti canai terbang, teh tarik
dan aktiviti cabutan bertuah.
Penganjuran KCCM 2024 turut disertai oleh Jabatan Warisan
Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya, Akademi Seni
Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara
dan Hotel Seri Malaysia serta mendapat sokongan ASTRO, Star Media Group, Zoomer
Media, Prowangsa, Advance Sign Indicator (ASI) dan KL Hop-On-Hop-Off (HOHO).
-Tourism Malaysia.