Monday 5 September 2022

Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 jadikan Perlis destinasi pelancongan sukan

 

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 peringkat Borneo yang diadakan di Pejabat SLT Sdn. Bhd. di Chong Lin Park, Kuching, Sarawak.

PETALING JAYA: Acara Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 yang menyasarkan 800 peserta bertujuan untuk membangunkan semula Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan sukan dan merangsang ekonomi domestik serta mempromosikan tempat menarik di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Smart Leisure & Travels (SLT) Sdn. Bhd., Datuk Nellsen Young berkata, acara itu melibatkan kategori 50 kilometer (km), 25km dan 10km pada 9 dan 10 Disember ini di Kompleks Eko Pelancongan, Sungai Batu Pahat, Perlis.

Katanya, buat pertama kalinya kategori ‘Super Senior’ terbuka kepada peserta berusia 50 tahun ke atas selain kategori ‘Junior Khas’ (12-17 tahun) untuk memperkenalkan anak-anak muda kepada acara larian denai.

“Program tersebut bertujuan untuk mempromosikan acara pelancongan di Perlis, dan memperkenalkan tempat-tempat menarik. Pelari akan melalui laluan kawasan eko pelancongan menarik di sekitar Sungai Batu Pahat, kawasan dusun buah-buahan, sawah padi, sungai Lencongan Barat, kampung tradisi dan juga kawasan hutan simpan.

“Acara larian Perlis-Nakawan Ultra di mana peserta akan melalui Banjaran Nakawan sepanjang 38km melalui Taman Negara Negeri Perlis ini dianjurkan oleh MEP Ventures Sdn. Bhd. dan Kelab Pelari Denai Putra dengan sokongan Kerajaan Negeri dan Tourism Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat merasmikan Majlis Pelancaran Promosi Larian Perlis-Nakawan Ultra 2022 peringkat Borneo yang diadakan di Pejabat SLT Sdn. Bhd. di Chong Lin Park, Kuching, Sarawak.

Yuran pendaftaran ‘Early Bird’ yang akan tamat pada 22 September ini berharga RM70 untuk 10km (junior), RM80 untuk 10km (dewasa), RM130 untuk 25km dan RM195 untuk 50km.

Tiket kadar biasa boleh dibeli dari 23 September hingga 17 Oktober, berharga RM80 untuk 10km (Junior), RM95 untuk 10km (dewasa), RM145 untuk 25km dan RM235 untuk 50km.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran dalam talian, sila layari www.nakawanultra.com.

Bagi peserta dari Borneo (Sarawak Sabah/Brunei/Kalimantan) sila hubungi Smart Leisure & Travels Sdn Bhd di talian 0168930309/0179050309/082422282 atau emel louis@smartleisuretravels.com.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.