KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan negara ketika ini masih berada dalam ‘perjalanan’ untuk pulih dengan kemasukan pelancong luar berada sekitar 30 ke 40 peratus.
Peningkatan itu dilihat selepas negara melalui fasa peralihan endemik tahun ini.
Pelancong tersebut datang dari Singapura, Indonesia, Thailand, United Kingdom, Australia, Korea Selatan dan India.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, kemasukan pelancong luar banyak memberi sumbangan kepada negara ini menghidupkan industri pelancongan antarabangsa.
Walau bagaimanapun kata beliau, masih terlalu awal mengatakan industri pelancongan kembali sihat selepas menerima tamparan kuat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu.
“Macam mana industri pelancongan boleh pulih kalau kemasukan pelancong luar adalah sekitar 30 ke 40 peratus? Industri kita masih berada dalam perjalanan untuk pulih.
“Saya harap dalam 2024 industri pelancongan pulih, saya juga berharap dalam pembentangan Bajet 2023 ini kerajaan akan memberi lebih banyak insentif dan subsidi untuk menolong industri pulih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini akhbar melaporkan, industri pelancongan di negara ini terpaksa menanggung kerugian lebih RM200 juta jika sempadan negara tidak dibuka pada April lalu.
Kok Liang berkata, bagi penduduk tempatan pula, mereka gemar bercuti jangka pendek ke destinasi di Semenanjung.
Jelasnya, antara tempat menjadi tumpuan pelancongan domestik adalah Pulau Pinang, Genting Highland dan Melaka.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.