6 November 2020 - Bagi pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
(MOTAC), saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan di
bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas kejayaan
Menteri Kewangan membentangkan satu bajet yang inklusif dengan mengambil kira
keadaan yang amat mencabar pada masa ini.
Walaupun kita sedang berdepan dengan penularan
wabak COVID-19 yang turut memberi impak kepada seluruh dunia, Kerajaan berjaya
membentangkan Belanjawan 2021 yang mencerminkan keprihatinan kepimpinan YAB
Perdana Menteri dalam memastikan semua pihak yang menyumbang kepada rantaian
ekonomi berkaitan dengan sektor pelancongan seperti penginapan, pengangkutan,
makanan dan minuman, agensi pelancongan, aset-aset warisan seni dan budaya
serta pengurusan acara di negara ini, diberi perhatian.
MOTAC yakin kesungguhan Kerajaan dalam
memastikan Matlamat Kedua, iaitu Kelangsungan perniagaan menerusi Strategi Ke-2
dalam memperkukuhkan sektor-sektor tumpuan, khasnya kelangsungan industri
pelancongan menjadi suntikan semangat kepada semua yang terlibat dalam
pertumbuhan sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini.
Antara tumpuan langsung adalah :-
- RM50 juta untuk program latihan dan penempatan
semula bagi 8000 kakitangan dari syarikat penerbangan di Malaysia;
- Peluang pekerjaan kepada 500 orang daripada
komuniti setempat dan Orang Asli sebagai jurupandu pelancong di semua
taman negara bagi merancakkan eko-pelancongan;
- RM50 juta disediakan bagi kerja-kerja
penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara;
- RM20 juta juga diperuntukkan bagi menambah
baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-Kampung Budaya di
Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan;
- RM10 juta ringgit diperuntukkan bagi
memastikan bangunan warisan kebangsaan seperti Bangunan Sultan Abdul
Samad, dan Carcosa Seri Negara juga akan terus kekal terpelihara dan
menjadi ikon pelancongan;
- RM35 juta kepada Malaysia Healthcare Travel
Council bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan
tempatan. Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian cukai pendapatan
bagi eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sehingga tahun 2022;
- RM1,000 di bawah Geran Khas Prihatin Tambahan
akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah. Geran khas ini juga
akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu
pelancong di Sabah;
- Pengecualian levi tabung HRDF akan diberikan
selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021 bagi membantu mengurangkan
beban aliran tunai syarikat yang masih terjejas. Pengecualian tersebut
akan meliputi sektor pelancongan dan syarikat yang terjejas COVID-19; dan
- RM150 juta diperuntukkan bagi inisiatif Shop
Malaysia Online melalui usahasama dengan platform e-commerce utama untuk
menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan memanfaatkan 500
ribu usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraftangan.
Selain daripada itu, program peningkatan
kemahiran dan latihan semula atau reskilling and upskilling menerusi peruntukan
sebanyak RM100 juta ringgit kepada pihak berkuasa pembangunan wilayah
terutamanya IRDA dan SEDIA untuk melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga
kerja yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan bagi pelancong asing mampu
membantu mereka mendapat peluang kerja atau sumber pendapatan baharu.
Belanjawan 2021 turut menekankan kepada
Pelaksanaan Program Subsidi Upah selama 3 bulan lagi dengan lebih bersasar,
khususnya bagi pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600
ringgit sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 ke bawah. Selain itu, had 200
pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Sebanyak
1.5 bilion ringgit diperuntukkan dan dijangka akan membantu kira-kira 70 ribu
majikan dan 900 ribu pekerja.
Sokongan berterusan kerajaan terhadap industri
pelancongan, seni dan budaya tempatan ini, sekaligus membolehkan MOTAC menjadi
salah satu Kementerian teras dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara
pasca COVID-19.
Kesemua aspek yang diberi perhatian ini secara
tidak langsung membolehkan lebih ramai pihak dapat menyumbang kepada
pertumbuhan industri pelancongan, seni dan budaya, merancang strategi yang
lebih mampan dan berdaya saing dalam merancakkan kembali industri ini.
Oleh itu, saya juga ingin menyeru
sahabat-sahabat penggiat industri pelancongan, seni dan budaya tanah air,
marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk memulihkan industri
pelancongan, seni dan budaya negara dengan sokongan belanjawan yang telah
diumumkan oleh Kerajaan pada hari ini.
-Pejabat Menteri, MOTAC.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.