PUTRAJAYA, 10 JUN 2020 - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
(MOTAC) mengumumkan pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan bagi membolehkan
ekonomi negara pulih dengan segera akibat wabak pendemik COVID-19.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy
Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, “Sebagai permulaan, kita
mahu ia dibuktikan menerusi pelancongan domestik, yang mana dari kalangan kita
sendiri, sama ada yang ada di sini hari ini atau di luar sana, harus memainkan
peranan berganding bahu bersama-sama, menyemarakkan semula industri pelancongan
negara, sekaligus meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan
selamat untuk dikunjungi pada masa hadapan. Ini seiring dengan misi kita pada
masa hadapan apabila sektor pelancongan mula dibuka untuk pengunjung luar,
apabila keadaan kembali pulih satu hari nanti,” jelasnya dalam sidang media di
sini, hari ini.
Beliau memberitahu bagi
merancakkan semula atau ‘rebound’ industri pelancongan dan kebudayaan negara,
strategi-strategi awal pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan telahpun
dikenalpasti dalam membantu meringankan beban penggiat industri pelancongan
menangani impak wabak pandemik COVID-19 iaitu:
- Pelaksanaan kursus Domestic Tourism Vibes
secara atas talian dengan kerjasama Persatuan Institut-institut Latihan
Pelancongan Malaysia (ATTIM) dan Malaysian Tourist Guide Council (MTGC)
bermula Mei sehingga November 2020 kepada kumpulan pemandu pelancong
berlesen yang akan tamat tempoh lesen pemanduan bermula April sehingga
Disember 2020;
- Pengecualian bayaran fi lesen bagi
pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang dilesenkan di
bawah Akta Industri Pelancongan 1992 atau Akta 482 bermula 17 Mac hingga
31 Disember 2020;
- Pemberian diskaun pembayaran kompaun sebanyak
40% kepada semua pengusahaan pelancongan dan pemandu pelancong berlesen
yang dikenakan kompaun oleh Kementerian ini sebelum 31 Disember 2020;
- Perlanjutan tempoh bayaran kompaun sehingga 31
Disember 2020 bagi semua kompaun yang dikeluarkan kepada syarikat atau
pemandu pelancong berlesen; dan
- Pengecualian kompaun kepada pengusahaan
pelancong dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam
tempoh yang ditetapkan disebabkan oleh PKP dengan syarat permohonan
lengkap perlu dikemukakan dalam tempoh 60 hari selepas tamat tempoh PKP.
Tambah beliau, bagi sektor
kebudayaan, MOTAC telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pelbagai
program dalam talian sepanjang tempoh PKP dan PKPB. Antara 3 segmen program
dalam talian adalah seperti berikut:
(i) Program pembangunan seni budaya;
(ii) Program pengembangan seni budaya; dan
(iii) Program pemasaran dan promosi.
Selain itu, MOTAC melalui
Tourism Malaysia, telahpun mengenalpasti beberapa program bagi merancakkan lagi
pelancongan domestik. Antaranya ialah:-
- Aktiviti perhubungan awam merentas negeri
(Intra & interstate PR Activation) dengan syarikat-syarikat radio
tempatan untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di seluruh Malaysia.
Tourism Malaysia juga akan membantu penggiat industri mempromosikan
produknya melalui laman web www.malaysia.travel dan
media sosial yang tersedia di peringkat ibu pejabat dan di Pejabat
Wilayah;
- Mempromosikan Kempen Cuti Cuti Malaysia untuk
menggalakkan rakyat negara ini melancong di dalam negara sejajar dengan
hebahan YAB Perdana Menteri;
- Menggunakan platform seperti Cuti-Cuti
Malaysia E-Travel Fair, E-Corporate Bazaar dan Malaysia Tourism Travel
Bazaar bagi membantu industri memperbanyakkan tawaran pakej-pakej menarik
kepada konsumer. Platfom e-korporat bazaar ini akan turut dipanjangkan
kepada industri MICE domestik. Penggiat industri digalakkan untuk
mengumpul pakej-pakej menarik dan kemukakan kepada Tourism Malaysia
melalui persatuan-persatuan pelancongan yang sedia ada untuk dimasukkan
dalam platform yang sedia ada seperti www.malaysia.travel; dan
- Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN)
diteruskan dan dipermudahkan dari masa ke semasa terutamanya untuk
aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran domestik. Maklumat berkaitan
GAMELAN boleh diperolehi di laman web www.tourism.gov.my
Bagi memastikan
keselamatan, pembukaan kembali sektor pelancongan domestik turut melibatkan
beberapa perkara yang dilarang dan dibenarkan dengan syarat pematuhan kepada
semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara
(MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam hal ini, MOTAC telah
mencadangkan 12 subsektor pelancongan dan kebudayaan dengan SOP bagi tujuan
pembukaan mulai hari ini. Ia boleh dikategorikan kepada 2 iaitu Dibenarkan
Dengan SOP dan Senarai Terlarang.
Aktiviti sub sektor yang
dibenarkan dengan SOP meliputi:-
- Pameran Hasil Seni, Budaya & Warisan di
Premis dan Fasiliti Awam Kebudayaan;
- Premis Penginapan Hotel;
- Syarikat Pengendali Pelancongan;
- Pemanduan Pemandu Pelancong;
- Operasi Institut Latihan Pelancongan (ILP);
- Program Pengalaman Homestay Malaysia;
- Aktiviti Pelancongan Pengembaraan dan Aktiviti
Lasak (SOP Umum KBS telah lulus); dan
- Aktiviti Selam Skuba dan Snorkeling (SOP Umum
KBS telah lulus).
YB Dato’ Sri Nancy juga
berkata bahawa pemain industri pelancongan dan kebudayaan perlu bersiap sedia
dengan norma baharu ini demi memastikan kelangsungan dalam menyumbang kepada
ekonomi negara. Beliau berharap usaha-usaha yang dirancangkan ini dapat
mengembalikan daya saing industri ini serta mendapat sokongan padu dan
kerjasama penuh daripada semua pihak berkepentingan termasuk NGO dan penggiat
industri yang berkaitan.
Klip video promosi
pelancongan domestik boleh diakses melalui laman web serta laman sosial rasmi
Tourism Malaysia, juga melalui pautan : Cuti-Cuti Malaysia
-MOTAC.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.