Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, setiap individu di negeri ini adalah ‘barisan hadapan’ yang berdepan dengan para pelancong.
“Apa yang kita ingin tekankan di sini adalah tanggapan pertama merupakan perkara penting bagi menarik kehadiran pelancong.
“Sebab itu, kita memberi fokus kepada tiga perkara yang perlu ada pada setiap rakyat di negeri ini iaitu kebersihan, sopan santun dan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kursus ‘Kita Adalah Tuan Rumah’ sempena Kempen Tahun Melawat Pahang 2017 di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengurus Besar Tourism negeri, Datuk Ishak Mokhtar dan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Idros Yahaya.
Seramai 200 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merupakan penggiat industri pelancongan dan duta barisan hadapan seperti pengusaha hotel, ejen pelancongan, pengusaha kedai makan serta persatuan-persatuan teksi terlibat di dalam kursus sehari itu.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mohd. Sharkar berkata, negeri ini memiliki produk pelancongan dan infrastruktur yang baik, namun kehadiran pelancong agak mendatar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dari segi statistik, Pahang di tangga kedua selepas Wilayah Persekutuan dari segi jumlah kehadiran pelancong dan jumlah bilik yang boleh disewa yang mana kita memiliki 29,000 bilik berbanding 32,000 bilik di Kuala Lumpur.
“Untuk menjadi lebih berdaya saing dalam industri ini, kita perlu melalui satu proses kematangan yang mana tidak hanya tertumpu kepada penggiat industri. Apabila seorang pelancong sesat, orang yang perlu membantu bukanlah hanya pemandu pelancong tetapi masyarakat sekeliling,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.