Tuesday, 7 January 2020

Ketibaan Delegasi ATCO Pakistan Grup Insentif Pertama VM2020 Ke Malaysia


KLIA, 6 JANUARI 2020 – Seramai 483 delegasi dari ATCO Laboratories Limited Pakistan yang terdiri daripada kakitangan organisasi tersebut telah memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi insentif dari 6 hingga 10 Januari 2020.

ATCO Laboratories Limited adalah antara syarikat farmaseutikal perintis di Pakistan dan ke-11 terbesar di negara tersebut. ATCO telah beroperasi lebih 40 tahun kepada perkhidmatan kesihatan Pakistan, dengan eksport ke lebih 20 negara sejak 1992.

Pasaran Pakistan menunjukkan peningkatan yang agak ketara setelah Tourism Malaysia mula mula memberi fokus kepada pasaran tersebut bermula penghujung tahun 2017. Statistik ketibaan pelancong dari pasaran tersebut mencatat 74,458 orang pelancong iaitu peningkatan 39.3% pada tahun 2018, berbanding 53,453 pelancong pada 2017.

Prestasi pelancong Pakistan pada Januari hingga September 2019 terus meningkat sebanyak 33% kepada 74,580 pelancong, berbanding 56,073 untuk tempoh yang sama pada 2018, walau pun isu ruang udara Pakistan-India menyebabkan Pakistan International Airlines memberhentikan perkhidmatan ke Kuala Lumpur untuk 8 bulan (Februari hingga Oktober 2019).


Malaysia adalah destinasi pelancong kegemaran bagi rakyat Pakistan disebabkan penjenamaan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam yang terunggul. 

Selain itu Malaysia menawarkan destinasi pelancongan keluarga di samping keakraban dan kesamaan budaya Malaysia dengan Pakistan. Untuk tahun 2020, Tourism Malaysia mensasarkan seramai 81,000 pelancong dari Pakistan.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.