KUALA LUMPUR 23 Mac – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan
Malaysia (MATTA) tidak berpuas hati dengan larangan surcaj terhadap pembayaran
melalui kad kredit kerana boleh mendatangkan kesulitan kepada ahlinya dan orang
awam yang melancong.
Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, agensi serta syarikat
pelancongan beroperasi dengan marjin yang rendah, tidak seperti kedai runcit di
pusat membeli-belah.
“Disebabkan marjin rendah itu, surcaj perlu dikenakan ke atas pembayaran
kad kredit hanya untuk mendapatkan semula kos Kadar Diskaun Peniaga (MDR) yang
dikenakan oleh bank,” katanya dalam kenyataan di laman web MATTA di sini hari
ini.
Menurut Kok Liang, cara mudah bagi agensi dan syarikat pelancongan
adalah dengan memasukkan MDR ke dalam harga, namun itu adalah tidak adil kepada
majoriti pelanggan yang membayar secara tunai, cek atau dalam talian.
“Ia akan memberi lebih banyak manfaat kepada pengguna apabila caj yang
dikenakan adalah telus dan dengan serendah yang mungkin,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, adalah lebih baik jika Bank Negara Malaysia
(BNM) meneroka kemungkinan untuk memansuhkan MDR atau mengurangkan kadar itu
terutama bagi jumlah yang besar.
“Ini akan memberi manfaat kepada pengguna dan juga perniagaan yang
besar, sekali gus meransang pertumbuhan pembayaran tanpa tunai di negara kita,”
katanya.
Tambah beliau, ahli MATTA perlu mematuhi kod etika persatuan, termasuk
menjalankan operasi perniagaan yang sah dengan cara yang adil dan telus.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.