Ramai tidak mengetahui bahawa pelan pembangunan Putrajaya dilakukan dengan memaparkan konsep bandar dalam taman bagi mengekalkan elemen kehijauan, menjadikannya lokasi kunjungan orang ramai khususnya pada hujung minggu.
Kesemua 12 taman awam dibangunkan dengan konsep, tema, karakter dan persekitaran yang unik sekali gus menjadi nadi utama Pusat Pentadbiran Persekutuan ini.
Bukan sahaja dari sekitar Lembah Klang, malah ada pengunjung sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mengunjungi 12 taman yang masing-masing mempunyai tarikan tersendiri.
Pengarah Bahagian Interpretif dan Pendidikan di Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya (PPj), Asmah Yahaya berkata, antara 12 taman tersebut adalah Taman Botani yang dikenali sebagai ‘Ibu Segala Taman’, Taman Wetland (Emas Putrajaya) dan Taman Putra Putrajaya dengan mendapat jolokan mercu tanda Putrajaya.
Katanya, terdapat tiga lagi taman yang bakal dibina selaras Pelan Struktur Putrajaya pada masa hadapan iaitu Taman Puncak Puteri di Presint 4, Taman Rimba Desa (Presint 9) dan Taman Lindungan di Presint 17 sekali gus menjadikan jumlah taman di Putrajaya sebanyak 15 buah.
“Setiap taman mempunyai identiti tersendiri dengan semua program dan aktiviti dibangunkan di lokasi masing-masing bersesuaian dengan semua peringkat umur.
“Taman-taman awam ini bukan sekadar tempat untuk bersantai dan rekreasi semata-mata tetapi ia juga menjadi medan perkongsian ilmu mengenai alam sekitar,” katanya.
Ketika ditanya kenapa taman-taman Putrajaya menjadi tumpuan, Asmah menjelaskan hanya di Putrajaya mempunyai taman-taman yang menawarkan perkhidmatan seperti pemandu pelancong dan sewaan basikal berbanding kawasan lain.
“Malah kami hanya mengenakan caj bayaran serendah RM2 dengan perkhidmatan ditawarkan adalah berbaloi dan berpatutan,” katanya.
Antara satu daripada 1,001 rahsia pemandangan indah di sini adalah Tasik Putrajaya itu sendiri yang merupakan tasik buatan maunsia berkeluasan 650 hektar dengan air dari Sungai Chua dan Sungai Bisa, Selangor telah ditapis oleh taman paya yang meneutralkan air secara semula jadi.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Interpretif dan Pendidikan Taman Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya (PPj), Shafini Ashraq Karim, Taman Wetland yang mendapat jolokan Emas Putrajaya berfungsi sebagai penapis dari kedua-dua sungai tersebut.
Katanya, pemandangan tanah bencah atau paya di sekeliling Taman Wetland merupakan satu keunikan kerana ia merupakan penapis semula jadi air sebelum memasuki Tasik Putrajaya.
“Sel-sel di taman ini menapis air menerusi akar-akar tumbuhan yang meneutralkannya selain menjadi tumpuan pelbagai habitat. Selain itu, Taman Wetland menjadi pilihan habitat kepada pelbagai spesiss fauna seperti burung akuatik iaitu Pucung Serandau, Ruak-Ruak dan Pangling selain pelbagai serangga,” katanya.
www.ppj.gov.my
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.