Shah Alam, 30 November 2025: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pemaju
induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG), dan KRU Entertainment Sdn Bhd
(KRUESB) hari ini mengumumkan kerjasama strategik bagi melancarkan pembangunan Magika
Studios, sebuah destinasi eko-pelancongan dan didik-hibur terbaharu di Mangrove
Point, Pelabuhan Klang.
Tarikan ini menggabungkan keindahan alam semula jadi, teknologi
moden dan elemen penceritaan kreatif bagi meningkatkan kesedaran terhadap
pemuliharaan Sungai Klang.
Terletak di kawasan Mangrove Point seluas 70 ekar, yang merupakan
sebahagian daripada Hutan Simpan Raja Lumu, Magika Studios bakal menjadi tarikan unik
yang mempamerkan keindahan hutan paya bakau serta mempromosikan nilai kelestarian
melalui hiburan dan pendidikan.
Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan
berasaskan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) di bawah SMG, yang menekankan
penggunaan teknologi dan hiburan sebagai medium pendidikan alam sekitar kepada masyarakat. Ia
menonjolkan bagaimana pembangunan mampan dapat diwujudkan selaras dengan
pemeliharaan ekosistem semula jadi, sekali gus menjadikan Sungai Klang bukan
sekadar sungai yang dipulihkan, tetapi nadi baharu kepada ekonomi hijau dan pelancongan
negeri.
Melalui persembahan cahaya imersif dan penceritaan kreatif
menggunakan watak-watak dongeng tempatan, Magika Studios dibangunkan dengan matlamat untuk
meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap inisiatif LLSB sebagai agensi di bawah
Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab memulihkan dan memelihara ekosistem
Sungai Klang.
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin berkata, “Pembangunan
Magika Studios merupakan satu pencapaian penting di bawah Fasa II Pelan Pembangunan
Selangor Maritime Gateway (SMG) iaitu Pembangunan Berdaya Impak (2024–2030), yang
bertujuan untuk merealisasikan potensi ekonomi melalui usaha pemuliharaan dan
pembangunan mampan di sepanjang Sungai Klang.”
“Projek ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip ESG,
khususnya dalam memperkukuh kesedaran awam tentang pemuliharaan alam sekitar melalui
pendidikan kreatif dan pelancongan bertanggungjawab. Dengan menggabungkan elemen alam
semula jadi, inovasi dan penceritaan, Magika Studios bukan sahaja dapat
meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap pemuliharaan sungai, malah merangsang aktiviti
ekonomi dan pelancongan di Selangor, menjadikan Sungai Klang lambang kelestarian
dan kebanggaan negeri.”
Antara tarikan utama yang ditawarkan termasuk:
i. Persembahan “animatronics” dan audio visual yang menghidupkan
watak-watak dongeng tempatan dan mesej pemeliharaan alam sekitar;
ii. Pencahayaan ‘immersive’ di hutan paya bakau;
iii. Pameran untuk memupuk perasaan sayang terhadap haiwan;
iv. Aktiviti lawatan berpandu di sepanjang 1 kilometer ‘boardwalk’
untuk menikmati keindahan hutan paya bakau dan hidupan liar di habitat semula jadi;
serta
v. Aktiviti sungai dan air untuk pelancong dan komuniti setempat.
Dengan jarak hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, Magika Studios
dijangka menjadi produk pelancongan baharu Selangor yang akan menarik perhatian pelancong
tempatan dan antarabangsa, seiring dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tambah Syaiful Azmen, “Melalui kerjasama dengan KRU Entertainment,
kami memperkenalkan bentuk pelancongan sungai yang baharu, menggabungkan
hiburan, pendidikan alam sekitar, dan penglibatan komuniti. Sungai Klang kini
menjadi simbol kebanggaan dan inspirasi rakyat Selangor.”
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment Sdn Bhd,
Dato’ Norman Abdul Halim, pula berkata, “Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan
Negeri Selangor dan LLSB atas peluang merealisasikan visi kami untuk mengadaptasi pengalaman
sinematik filem Magika, yang telah memenangi pelbagai anugerah sebelum ini,
kepada tarikan taman tema berbentuk didik-hibur. Kerjasama ini membolehkan kami
menggabungkan kepakaran dalam bidang hiburan dan teknologi digital dengan aspirasi LLSB
untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar.”
“Magika Studios akan menjadi platform di mana kreativiti, pendidikan
dan kelestarian disatukan, menghasilkan pengalaman unik kepada pengunjung sambil
menyampaikan mesej penting tentang penjagaan sungai dan alam semula jadi. Inisiatif ini
membuktikan bahawa pembangunan mampan boleh diwujudkan melalui pendekatan kreatif yang
memberikan manfaat kepada alam sekitar, masyarakat dan ekonomi. Kami percaya
bahawa projek ini bukan sahaja mendekatkan masyarakat dengan Sungai Klang, tetapi juga
membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, pendidikan dan ekonomi hijau.”
Majlis pengumuman hari ini menandakan permulaan kepada pembangunan
penuh Magika Studios, yang dijangka dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun
2026. Inisiatif ini memperkukuh pelaksanaan projek Selangor Maritime Gateway ke arah
pembangunan berimpak tinggi yang menyeimbangkan kemajuan ekonomi dan kemampanan
alam sekitar, selaras dengan visi menjadikan Sungai Klang sebagai sungai yang
lestari dan berdaya huni di Malaysia.
-Didz Squad Studios.