Pengerusi
PENYAYANG, Nori Abdullah (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Leela
Mohd Ali menyampaikan papan penghargaan penajaan kepada wakil The Orange Tree
Consultancy, Geoff Kronenburg.
KUALA LUMPUR: Yayasan Budi
Penyayang Malaysia (PENYAYANG) akan menganjurkan program Batik Fun Walk pada
pertengahan bulan hadapan, acara riadah untuk mempromosi batik sebagai seni
warisan negara dan penggunaannya sebagai pakaian harian serta santai.
Acara kali ke-19 bertempat di
Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini pada 15 Disember itu
dianjurkan PENYAYANG dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
(MOTAC) yang sesuai disertai semua lapisan masyarakat bersama ahli keluarga dan
rakan-rakan.
Dalam satu kenyataan hari ini, PENYAYANG memaklumkan, majlis
perasmian dan pelepasan peserta acara itu yang dijadual bermula dengan sesi
pendaftaran pada jam 6.30 pagi, dijadual disempurnakan oleh Timbalan Menteri
Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.
"Acara
akan bermula dan tamat di Lanai MaTiC, dengan perjalanan melalui Jalan Ampang,
Jalan Sultan Ismail, Jalan P Ramlee, Persiaran Petronas dan seterusnya memasuki
Jalan Ampang dan akan kembali ke Lanai. Jarak perjalanan 2.5 kilometer,"
menurut kenyataan itu.
Yuran penyertaan RM45
dikenakan bagi peserta dewasa yang akan turut menerima kain batik, RM20 tanpa
kain batik bagi kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun, manakala
percuma tanpa batik dan pingat untuk kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun yang
ditemani penjaga.
"Pendaftaran
juga boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan http://bit.ly/Batikfunwalk2024 atau melalui https://www.ticket2u.com.my/event/37797/batik-fun-walk-2024," menurut PENYAYANG.
Hadiah turut disediakan untuk kategori peserta paling muda,
peserta paling tua, penyertaan berkumpulan paling ramai, individu berpakaian
batik paling kreatif dan keluarga berpakaian batik paling kreatif, selain
hadiah utama dan cabutan bertuah.
"Kutipan
daripada yuran penyertaan akan disumbangkan kepada Penyayang Pesakit Kanser
(PPK), kumpulan sokongan yang memberikan khidmat dan bantuan kepada pesakit
kanser melalui pusat Positive Image di Hospital
Putrajaya, Institut Kanser Negara dan di Seri Kembangan.
"PPK
turut bertanggungjawab dalam program kesukarelawan dan sokongan untuk pesakit
kanser serta keluarga mereka," katanya menambah peserta acara itu yang
dijayakan dengan kerjasama rakan strategik, MaTiC dan MCM CoMetro 5 Pillars
Venture, yang menamatkan perjalanan layak menerima pingat Batik Fun Walk 2024.
Antara
aktiviti lain akan diadakan pada acara turut mendapat sokongan Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta barisan penaja,
termasuk The Orange Tree Consultancy itu adalah kuiz, cabaran kecergasan, putar
dan menang, persembahan dan nyanyian, aksi badut serta cabutan bertuah.
-berita harian online.