BERTEMAKAN Raikan
Bersama, Celebrate Together!, satu pengalaman manis menanti penggemar bunga
orkid menerusi Floria Diraja Putrajaya yang akan membuka tirainya bermula 22
Ogos hingga 1 September ini bertempat di Persisiran Tasik, Presint 2,
Putrajaya.
Uniknya, festival ini bukan sahaja
mempamerkan kepelbagaian bunga berwarna-warni dalam reka bentuk landskap yang
indah tetapi turut dijual di gerai tapak festival. Pengunjung pasti terpesona
seakan berada di negara Eropah kerana dikelilingi ratusan ribu jenis pokok,
tumbuhan dan bunga-bungaan.
Lebih menarik, acara yang bermula
pada pukul 9 pagi hingga 10 malam itu akan diserikan dengan kehadiran Raja
Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 22 Ogos (Khamis) di Pentas Utama
Floria.
Menurut Presiden Perbadanan
Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud,
Floria Diraja Putrajaya 2024 akan memaparkan komponen-komponen baharu yang
dijangka akan menarik minat orang ramai terdiri daripada pelbagai golongan dan
usia.
“Antara tarikan pada tahun ini
adalah pihak kami akan mempamerkan lebih daripada 500 jenis pokok orkid spesies
dan hibrid, Pameran dan Pertandingan Bonsai, Pameran dan Pertandingan Terarium,
Pameran Floral Masterpiece bertemakan koleksi tumbuhan Highland dan Lowland
yang menakjubkan, Laman bertemakan Zen Garden yang dihiasi dengan pokok bonsai,
Laman Santai bertemakan koleksi tumbuhan tropika selain terdapat Pameran Orkid
Khas iaitu lebih daripada 15 jenis orkid VIP akan dipamerkan terdiri daripada
nama-nama diraja dan orang kenamaan.
“Selain itu, pameran kali ini juga
akan memperkenalkan kepada umum satu lagi orkid baharu istimewa yang berdaftar
dengan Royal Horticultural Society (RHS), London bersempena perasmian Floria
Diraja Putrajaya 2024. Nantikan kemunculannya pada 22 Ogos ini!” ujar beliau.
Fadlun berkata objektif
penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2024 adalah untuk mempromosikan Putrajaya
dalam kepelbagaian produk pelancongan sedia ada di pusat pentadbiran kerajaan
itu selain mempunyai potensi yang besar untuk menjadi salah sebuah destinasi
pelancongan domestik dan antarabangsa.
“Di samping itu, acara ini
dilaksanakan bagi mempromosi dan mengetengahkan pelbagai jenis orkid dan
hibridnya, memperkenal serta mempamerkan koleksi-koleksi spesies orkid khas,
unik dan rare yang terdapat di Malaysia sekali gus menyokong industri orkid.
“Bukan itu sahaja, ia juga dapat
memberi ilham dan idea reka bentuk hiasan, taman orkid dan bunga-bungaan lain
kepada pengunjung dan orang ramai,” ujarnya.
Untuk Floria Diraja kali ke-13
itu, beliau memaklumkan pihaknya akan mempertandingkan Pertandingan Pameran
Taman yang mana pertandingan tersebut mempertaruhkan hadiah wang tunai untuk
Prime Award sebanyak RM10,000 melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi
kerajaan dan bukan kerajaan.
“Terdapat sembilan kategori yang
akan dipertandingkan iaitu Floria Iconic Award, Floria Garden Prime Award,
Floria Garden Starlight Award, Floria Garden Award, Floria Best Booth Award
Garden Bazaar, Floria Best Booth Award Community Garden, Floria Garden Creative
Award, President’s Garden Award dan Floria People Most Choice Garden Award.
“Dalam masa sama, Pertandingan
Terarium turut diadakan bertujuan untuk mencungkil bakat serta kreativiti
pelajar-pelajar sekolah di Putrajaya bagi mempamerkan keindahan seni miniatur
landskap yang menarik dan kreatif selain menjadi sebahagian daripada tarikan di
Floria Diraja Putrajaya 2024,” ujarnya.
Beliau berkata untuk penganjuran
kali ini, pihaknya menawarkan lebih daripada 100 aktiviti dan persembahan
pentas antaranya Bengkel Gubahan Bunga, Bengkel Mencanting Batik, Bengkel
Hiasan ‘Cup Cake’, Bengkel ‘Doodle Art’, Bengkel Terrarium, Demo Masakan,
Pertunjukan Fesyen, Floria Fun Run, Floria Fun Ride, Zumba, Face Fainting,
Badut, Superhero Costume, Maskot, Kuiz & Teka Teki?, Persembahan Malam
Kebudayaan – Singgah Seni, Persembahan Tarian Kebudayaan & Buskers serta
pelbagai aktiviti sampingan dan hadiah menarik menanti pengunjung.
“Sebanyak 30 lot gerai jualan
Garden Bazaar disediakan yang terdiri daripada jualan orkid (pelbagai spesies
orkid hibrid dan hutan), pokok buah-buahan, perabot landskap, produk fertigasi
dan hidroponik, pelbagai jenis baja dan pasu, produk berasaskan rotan serta
tanaman landskap yang lain seperti petunia, ros, bunga raya, heliconia, bunga
kertas, caladium, monstera dan banyak lagi.
“Kami juga menawarkan 12 lot gerai
jualan Komuniti Garden dengan penglibatan jualan hasil dan produk pertanian
bandar dari 11 kebun komuniti, pameran, jualan dan khidmat nasihat daripada
rakan kerjasama Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI) serta 12 lot gerai jualan kraf tangan oleh
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) yang menjual pelbagai produk
kraf tangan, batik, songket, perhiasan dan lain-lain.
“Pihak kami juga menyediakan
kawasan jualan makanan dan minuman unik yang dikenali sebagai Feast Garden
dengan 164 gerai jualan terdiri daripada masakan tempatan dan antarabangsa,
makanan jalanan popular, hidangan eksotik dan pencuci mulut dengan kapasiti 300
tempat duduk bagi memudahkan pengunjung menikmati makanan serta minuman yang
dibeli sambil menonton Persembahan Eco Culture, World Music Buskers, Upcycling
Drum Tribe, Fire Breather Showdown, Rimba Seruling Music, Malam Selawat &
Tausiah (Manusia & Alam), Sape Didgeridoo Jam dan Magunatip Dance,”
ujarnya.
Untuk Floria Diraja kali ini,
Fadlun berkata pihak PPj menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung dan pelancong
ke Putrajaya seterusnya dapat merancakkan lagi sektor ekonomi menerusi
pelancongan acara.
“Bagi warganegara, kita kenakan
caj bayaran tiket dewasa sebanyak RM10 manakala RM5 buat kanak-kanak. Untuk
bukan warganegara pula, tiket dewasa adalah RM30 manakala kanak-kanak RM25.
Buat kanak-kanak bawah tujuh tahun dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU)
pula adalah percuma.
“Bagi pengunjung yang hadir, kita
juga akan menyediakan kemudahan seperti surau, tandas, kerusi roda buat OKU dan
warga emas serta paramedik daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Untuk maklumat lanjut, orang
ramai boleh layari media sosial kami di Facebook @Perbadanan Putrajaya; X
@putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta
melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my,” ujar
beliau.
-WilayahKu.