- Industri pelancongan menyediakan peluang
pekerjaan dan perniagaan kepada lebih 3.7 juta rakyat Malaysia dan
merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara dengan Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15.3%. Apabila industri ini terjejas, ekonomi
negara turut menerima kesan langsung yang juga menjejaskan pendapatan
penggiat dalam industri pelancongan ini.
- COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia
pada masa ini telah memberi impak negatif ke atas industri pelancongan
negara. Maklumat dari industri menunjukkan bahawa anggaran semasa kerugian
yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan bagi sektor seperti
penginapan, pengangkutan, beli-belah, makanan dan minuman serta
penganjuran acara perniagaan bagi tempoh Januari hingga Mac 2020 adalah
melebihi RM9 bilion.
- Bagi mendalami isu ini, satu sesi perjumpaan
dan perbincangan bersama penggiat industri pelancongan telah diadakan pada
17 Mac 2020. Antara pihak yang hadir adalah wakil persatuan-persatuan dari
industri penginapan,pelancongan, operator bas, peniaga, pemandu pelancong
dan pemandu teksi. Perbincangan ini dikendalikan oleh Tourism Recovery
Action Council (TRAC) yang ditubuhkan oleh MOTAC khusus bagi membincangkan
langkah-langkah memastikan industri pelancongan tidak terjejas akibat
penularan wabak COVID 19 ini. Hasil perbincangan ini, MOTAC telah melakar
Pelan Tindakan Strategik atau Strategic Action Plan untuk membantu
merancakkan kembali industri ini dan memastikan kesejahteraan rakyat
Malaysia yang bergantung kepada industri ini terjamin.
- MOTAC akan mengadakan perbincangan dengan
Kementerian Kewangan serta agensi-agensi berkaitan untuk memperhalusi
pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh pihak pemain industri
pelancongan terutamanya yang berkaitan dengan bentuk bantuan yang boleh
disalurkan kepada industri ini.
- Bagi mengekalkan kedudukan sebagai destinasi
utama pelancongan di rantau ini, MOTAC akan memperkenalkan kempen
pelancongan baru bagi menggantikan kempen Visit Malaysia 2020 yang telah
dibatalkan akibat penularan COVID 19. Kempen ini akan bersifat jangkamasa
panjang yang akan memperkukuhkan jenama ‘Malaysia, Truly Asia’ dan
mengetengahkan pengalaman-pengalaman unik yang boleh didapati di Malaysia.
MOTAC yakin usaha ini akan mengukuhkan daya saing dan kelestarian industri
pelancongan negara di samping memastikan industri ini inklusif.
DATO’ SRI HAJAH NANCY
SHUKRI
MENTERI
PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA
24 Mac 2020.
MENTERI
PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA
24 Mac 2020.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.