Thursday, 19 April 2018

Keindahan ‘permata’ Ba'kelalan


HASRAT meneroka wilayah tanah tinggi Sarawak di Ba'kelalan, Lawas sudah lama diidamkan penulis sejak berkhidmat di Bumi Kenyalang kira-kira tiga tahun lalu.

Angan-angan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila media dipelawa melawat Ba'kelalan bersama wakil Sarawak Tourism Board (STB), Kevin Nila Nangai.

Perjalanan yang dirancang nyaris dibatalkan ekoran cuaca buruk. Pesawat Maswings (Twin Otter) yang membawa rombongan media dari Miri terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Lawas sebelum meneruskan penerbangan ke Ba'kelalan setelah cuaca kembali baik.

Operator pelancongan dari Heart of Borneo Tour and Travel (HOB), Rona Sultan yang menguruskan lawatan kami memaklumkan kapten pesawat akan membatalkan penerbangan jika cuaca tidak baik dalam tempoh 30 minit menunggu.

Rombongan kami bertuah kerana setelah hampir sejam menunggu, kapten pesawat, Stefanus bersedia untuk meneruskan penerbangan setelah mendapat maklumat keadaan cuaca di Ba'kelalan semakin baik dan selamat untuk terbang.

Kami tiba sekitar pukul 11 pagi. Kesegaran bayu kawasan tanah tinggi menyambut ketibaan kami.

Ba'kelalan terletak di daerah Lawas mempunyai sembilan kampung yang dihuni etnik Lun Bawang sekitar 1,000 orang.

Tanpa berlengah, kami mendaftar masuk ke inap desa (homestay) Julia Sang yang diusahakan pasangan suami isteri, Cikgu Sang dan Julia di Kampung Buduk Nur.

Makanan di sini cukup segar. Padi bukit organik bebas racun dituai menjadi beras Adan. Nasi panas yang dimakan dengan sayuran segar, hasil tanaman penduduk cukup menyelerakan, selain roti dan sup labu.

Dalam pada itu, kami dibawa mendaki ke menara tinjau Pa Sarui di ketinggian 1,090 meter. Pendakian memakan masa satu jam 30 minit.
Laluan tidak sukar dan setibanya di puncak bukit, kami terpukau melihat keindahan Ba'kelalan.

Bagi mereka yang kaki mendaki, boleh menakluk Gunung Murud di ketinggian 2,423 meter. Difahamkan treknya tidak susah dan mengambil masa tiga hari dua malam.

Selain itu, tidak sah ke Ba'kelalan jika tidak mengunjungi tempat memproses garam bukit di Buduk Bui yang terkenal dengan khasiatnya.
Perjalanan dari inap desa ke tempat pemprosesan garam bukit memakan masa satu jam.

Pengunjung boleh menginap di situ untuk merasai sendiri cara menghasilkan garam bukit. Proses awal adalah mengambil mata air di bukit, sebelum dimasukkan ke dalam tong dram dan dimasak sehingga bertukar menjadi garam.

Kami juga dibawa ke sempadan Malaysia-Indonesia yang terletak tidak jauh dari Ba'kelalan untuk mengambil gambar kenang-kenangan.

Siapa sangka, Ba'kelalan adalah syurga pemerhati burung setelah burung spesies Dulit Frogmouth (Batrachostomus harterti) yang hilang selama satu dekad lalu ditemukan Cikgu Sang pada 2014.

Selepas itu, Ba’kelalan menjadi tumpuan pemerhati burung dari seluruh dunia.

Pada pandangan penulis Ba'kelalan berpotensi tinggi menjadi destinasi percutian dengan pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti mendaki, memburu, memancing dan memerhati burung.

Penjelajahan kami berakhir dengan membawa seribu satu kenangan yang tidak akan dilupakan. Terima kasih kepada STB dan HOB atas pengalaman cukup bermakna itu.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.