MAZNAH MAZLAN (dua dari kiri) bersama Edros Yahya (dua dari kanan) membunyikan hon sebagai merasmikan pertandingan memancing Royal Pahang Billfish International Challenge 2015 di Jeti Kampung Pantai Bernas, Rompin, Pahang, semalam. UTUSAN/mAHATHIR ALI
ROMPIN 12 Sept. – Pemasangan alat pengesan atau mikrocip pada badan ikan layaran selepas dipancing dan dilepaskan semula oleh peserta pertandingan memancing Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) dapat membantu mengesan pergerakan ikan tersebut di lautan bagi tujuan pemuliharaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan berkata, langkah itu sekali gus memastikan populasi ikan berkenaan yang menjadi buruan kaki pancing tidak terjejas.
Bagaimanapun katanya, langkah tersebut masih dalam peringkat cadangan dan mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi menaja pemasangan alat pengesan berkenaan.
“Selama ini para peserta hanya mengukur panjang, menimbang berat dan mengambil gambar ikan layaran ini dan selepas itu dilepaskan kembali ke laut.
“Kita merasakan perlu dipasang mikrocip untuk mengesan pergerakan ikan ini termasuk mengetahui daripada mana ia datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelepasan peserta RPBIC 2015 di Jeti Kampung Pantai Bernas di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Edros Yahya.
Seramai 135 peserta dari dalam dan luar negara menyertai pertandingan memancing berprestij itu yang menawarkan hadiah wang tunai dan peralatan memancing dengan jumlah keseluruhan RM100,000.
Selain aktiviti memancing, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri menganjurkan beberapa aktiviti sampingan bagi memeriahkan penganjuran RPBIC kali ini seperti pertandingan memancing pantai, aktiviti sukan rakyat dan pelancaran program Save Our Spesies.
Berhubung RPBIC 2015, Maznah berkata, pertandingan yang memasuki kali ke-11 penganjurannya itu mendapat sambutan memberangsangkan pada setiap tahun dengan menjadikan daerah ini sebagai destinasi tumpuan utama pemancing ikan layaran dari seluruh dunia.
“Sebanyak 65 peratus peserta adalah dari luar negara seperti New Zealand, Australia, Indonesia, Singapura, China, Jepun dan Filipina,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran RPBIC juga meningkatkan jumlah bot yang dimiliki orang tempatan di daerah itu kepada 45 buah pada ketika ini daripada hanya empat sebelum ini.
Sementara itu, Mirza berkata, pertandingan berkenaan menunjukkan kemajuan pada setiap tahun penganjurannya dan berjaya menambah jumlah kehadiran pelancong ke daerah ini dan Pahang.
“Situasi ini bukan saja baik untuk pelancongan negeri ini malah membantu ekonomi penduduk di sini,” katanya.
-Utusan Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.