Ditemani bunyi unggas dan cengkerik saling
bersahutan serta panorama keindahan alam semula jadi terutama pada waktu malam
menjadikan percutian di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang sesuatu yang sangat
istimewa.
Bukan itu sahaja, menikmati percutian penuh damai jauh
dari kesibukan kota, asap dan debu kenderaan mahu pun kilang pastinya memberi
ketenangan yang sukar ditukar ganti.
Memilih untuk menikmati kehijauan alam dengan
melakukan pelbagai aktiviti di Taman Negara atau sekitarnya bersama rakan atau
ahli keluarga, pastinya Calet Park Lodge memberi kelainan bagi mereka yang
sukakan penginapan cara sederhana.
Lain dari yang lain, Park Lodge menawarkan suasana
privasi yang terletak berdekatan lokasi pelancongan Taman Negara menjadikan
calet itu digemari pelancong asing kerana mereka ingin merasai sendiri
pengalaman hidup dalam suasana kampung.
Menurut pemilik Park Lodge, Abdul Jabar
Abdul Rahman, 66, calet tersebut dibina 15 tahun lalu oleh adiknya semasa
masih bertugas sebagai renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman
Negara (Perhilitan), sebelum mengambil alih pengurusannya selepas bersara pada
2011.
Abdul Jabar memberitahu, dia hanya menerima
pelancong asing menginap di calet berkenaan kerana tertarik dengan cara mereka
yang lebih santai dan menghormati budaya tempatan.
“Saya suka cara mat saleh yang lebih sinonim dengan
gaya percutian sederhana dan tidak cerewet,’’ ujarnya yang mengusahakan calet
berkenaan bersama isteri, Rohana Mohamed.
Tidak seperti calet lain, Park Lodge menyediakan
lapan bilik berkonsepkan rumah tradisional kampung iaitu sebuah rumah dua pintu
yang dilengkapi kemudahan asas dan sesuai bagi pelancong bajet atau backpakers
termasuk perkhidmatan kemudahan Wi-Fi secara percuma.
Menurutnya, Park Lodge menerima permintaan tempahan
yang tinggi pada bulan Jun, Julai, Ogos dan September, malah terpaksa menolak
beberapa tempahan akibat penuh pada masa tersebut.
“Saya bukan memilih pelanggan tetapi disebabkan
budaya orang luar yang sederhana dan tidak cerewet, lebih menghargai
perkhidmatan yang ditawarkan di sini. Kami banyak menerima pelancong dari
Jerman dan Sepanyol.
“Di sini kami hanya menyediakan sarapan kerana
pelancong akan keluar melakukan aktiviti mereka sepanjang hari dan pulang lewat
petang atau malam untuk berehat. Lagipun di sini tidak susah mencari makanan,”
katanya ketika ditemui di Kuala Tahan baru-baru ini.
Dengan rekaan rumah ala tradisional yang indah
pastinya sesiapa sahaja yang menginap di sini berasa seronok dengan layanan
mesra Mohammad Jabar dan isterinya. Kedudukan Park Lodge yang hanya 600 meter
ke jeti Kuala Tahan untuk ke Taman Negara memudahkan pelancong untuk ke sana.
“Dari jeti tersebut mereka hanya perlu membayar RM1
untuk menaiki bot ke Taman Negara. “Bagi yang tiada kenderaan, kami turut menyediakan
perkhidmatan ke jeti,” ujarnya.
Pada harga RM70 untuk dua orang lengkap dengan
sarapan pastinya menguntungkan pelancong yang ingin menikmati suasana alam
semula jadi sambil berehat santai melupakan seketika masalah pejabat dan
suasana sibuk di kota.
Buat masa ini Park Lodge hanya menerima tempahan
bilik daripada pelancong asing melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon,
mesej pesanan ringkas (SMS) di talian 019-7731661 atau
e-mel parklodge.tnkt@yahoo.com.
Singgah kenali etnik Bateq
Ketika kedatangan penulis, kanak-kanak yang sedang
seronok bermain berlari menyorokkan diri.
Walaupun cuba menyembunyikan diri, namun mereka
yang mempunyai rambut kerinting masih menarik perhatian kami dengan bergelak
ketawa dan bercakap sesama mereka.
Bukannya sombong, tetapi fitrah asal kanak-kanak
tersebut ialah pemalu, namun selepas dipanggil beberapa kali mereka mula
mendekati tetamu sambil bertepuk tangan.
Bagi yang tidak biasa mengunjungi perkampungan
Orang Asli pasti teruja untuk mendekati budaya dan gaya hidup etnik Bateq di
perkampungan Dedari di pesisiran sungai Taman Negara Kuala Tahan.
Orang Asli di kawasan tersebut masih menggunakan
kaedah kuno seperti rotan dan kayu meranti yang digesel untuk menghasilkan api
dalam masa kurang dari satu minit.
Menurut seorang penduduk, Beceh a/l Sungkai,
pada masa ini terdapat 40 orang penduduk yang terdiri daripada tujuh keluarga.
“Pekerjaan utama kami adalah mencari kayu dan
memburu menggunakan sumpit. “Racun diletakkan di peluru sumpit bagi tujuan
membunuh haiwan untuk dijadikan makanan. Sumpit boleh ditembak sejauh kira-kira
45 meter,” katanya.
Untuk ke perkampungan tersebut, pelancong harus
menaiki perahu jalur dari jeti Kuala Tahan kira-kira 20 minit sambil menempuh
arus dan jeram.
Tambah Beceh, penduduk kerap dikunjungi pelancong
sama ada dari dalam dan luar negara.
“Jika mereka ke mari, kami akan menunjukkan
demonstrasi menghidupkan api dan bermain sumpit. Mereka juga diberi peluang
mencuba cara menghidupkan api. “Kami hanya mengenakan bayaran RM5 untuk seorang,”
jelasnya.
Selepas melawat perkampungan itu, pelancong boleh
menikmati pengalaman mandi sungai di kawasan berdekatan. “Anda hanya perlu pilih pakej yang bersesuaian dan
minta kepada pemandu perahu untuk singgah mandi-manda.
“Pemandu perahu akan menunggu sehingga anda habis
beriadah bersama rakan atau ahli keluarga. Harga sewaan perahu bergantung
kepada pakej dan jumlah penumpang,” katanya.
-utusan online.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete