Menjanjikan percutian menarik serta tidak mengecewakan, Hotel Bagasta Boutique yang terletak di Kampung Baru menawarkan penginapan berkonsepkan kampung.

Bagasta dalam bahasa Melayu Mandailing bermaksud ‘rumah kita’ mempunyai dekorasi unik yang membentuk identiti kampung menerusi penggunaan kayu-kayu lama sebagai hiasan dalaman serta ‘kehadiran’ kain sarung di dalam setiap bilik.

Pengunjung pasti akan terkenangkan rumah di kampung halaman. Ditambah dengan makanan di Kampung Baru yang sememangnya terkenal dengan keenakan masakan kampung dari pelbagai negeri.

Bagasta yang terletak di 56 Jalan Raja Alang cukup strategik kerana mempunyai pelbagai kemudahan termasuk berdekatan dengan kemudahan awam, sekali gus memudahkan pengunjung melihat lokasi menarik berhampiran Menara Berkembar Petronas, Jalan Tunku Abdul Rahman, Pasar Chow Kit, Petaling Street, Dataran Merdeka, Menara Kuala Lumpur, Pavilion dan Bukit Bintang.

Menurut pengurusnya, Shaharuddin Jaafar, hotel itu mula beroperasi pada Jun 2014. Pada asalnya, hotel itu adalah sebuah bangunan terbiar dan bekas asrama.

“Idea untuk membina hotel berkonsepkan kampung tercetus secara tidak sengaja. Pada mulanya, pelbagai konsep yang ingin diketengahkan, namun ciri kemelayuan dilihat lebih sesuai.

“Kami akan pastikan setiap pelanggan disambut dengan baik seiring dengan adab orang Melayu ketika menyambut tetamu yang mengunjungi rumah mereka,” katanya kepada S2.

Lebih menarik, pengunjung bukan sahaja menikmati ketenangan kampung ketika berada di hotel ini malah, pasti teruja apabila melihat keindahan bandar raya Kuala Lumpur berlatar belakangkan KLCC.

Mempunyai 30 bilik yang merangkumi Superior, Deluxe, Family, Family Suite dan Master Suite berharga antara RM120 hingga RM360 semalam.
Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin, televisyen, kopi dan teh serta perkhidmatan WiFi.

Untuk tempahan dan keterangan lanjut sila hubungi talian 03-26989988 atau layari laman web www.bagasta.com.my.