Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, perkhidmatan yang disediakan oleh M. Bike Sdn. Bhd., itu merupakan produk tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2017.

Katanya, untuk permulaan, sebanyak 20 buah beca disediakan dengan tiga pakej perjalanan menarik dan perkhidmatan itu akan beroperasi setiap hari.

“Beca ini bukan seperti beca biasa yang sering kita lihat. Ia te­lah dimodenkan mengikut citarasa hari ini. Kali terakhir perkhidmatan seumpama ini ditawarkan di Ipoh adalah pada tahun 2005.

“Hari ini kita menawarkan semula perkhidmatan ini dimana ia telah dipakejkan kepada tiga bahagian iaitu Pakej A, Pakej B dan Pakej C.

“Bagi Pakej A, pelancong akan menaiki beca itu dari satu lokasi ke satu lokasi dengan kadar bayaran RM6. Pakej B pula, mereka akan dibawa ke Laluan Warisan meliputi 26 lokasi menarik di Ipoh yang memakan masa selama 45 minit. Pakej C pula adalah mengikut jam,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata demikian selepas melancarkan perkhidmatan beca tersebut di Riverwalk Ipoh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus M. Bike Sdn. Bhd., Camees Fong.
Menurut beliau, sekiranya sambutan yang diterima menggalakkan, pihaknya bercadang untuk mengembangkan perkhidmatan itu di daerah lain seperti Taiping.

Katanya, Taiping dipilih kerana keunikan warisan yang dimiliki bandar itu selain Taman Tasik Taiping yang menjadi tumpuan ramai pelancong terutama pada musim cuti.

“Difahamkan, ketika ini ke­­­­­ba­n­­­­­­­­­­­yakan hotel menawarkan pakej perkhidmatan beca ini dalam pakej penginapan mereka. Terdapat juga hotel memberikan perkhidmatan beca secara percuma sekiranya menginap di hotel mereka.

“Dari segi perkhidmatan yang perlu dipertingkatkan adalah dari­pada aspek menerangan. Mungkin kita akan buat rakaman dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan pelancong lebih memahami keunikan yang terdapat di bandar ini,” katanya.