Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pada masa ini terdapat 20 inap desa yang dipilih menjalani penjenamaan semula di bawah program tersebut di seluruh negara.

Menurutnya, inap desa yang terlibat menawarkan pelbagai keistimewaan dan ciri-ciri seragam dari segi kemudahan, keselamatan dan layanan berbanding inap desa lain.

“Kita mahu naikkan taraf inap desa menyamai hotel termasuk memiliki kemudahan jalur lebar mudah alih (WiFi), sabun, syampu dan peti pertolongan cemas.

“Melalui jaringan CoopStay, kita telah berjaya melonjakkan pendapatan keseluruhan 20 inap desa itu daripada RM500,000 pada tahun lalu kepada RM1 juta pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Mo­del Jaringan CoopStay Koperasi Homestay Rawa Lenggeng, di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalan­nya yang juga Pengerusi Peneraju Sektor Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan Angkasa, Mutadho Bahri dan Pengerusi Koperasi Homestay Rawa Lenggeng Negeri Sembilan Berhad, Saadiah Othman.

Menurut Abdul Fattah, Ang­kasa akan mempromosi inap desa yang menyertai CoopStay di peringkat antarabangsa me­lalui jaringan yang dimilikinya dalam Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) dan Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO).

“Kita juga telah menawarkan peluang kepada 1,000 perwakilan daripada 100 negara yang akan menghadiri Persidangan ICA Global pada November tahun depan bagi memper­kenalkan produk pelancongan di bawah CoopStay,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi perhatian kepada sektor pelancongan melalui penubuhan CoopStay dan juga CoopHotel sebagai salah satu usaha meningkatkan pendapatan koperasi.

“Ini juga adalah usaha kita dalam membantu kerajaan menjana pendapatan melalui sektor pelancongan yang dijangka menarik 36 juta pelancong pada 2020 dengan perolehan berjumlah RM168 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan per­mintaan Angkasa supaya per­untukan gerakan koperasi dinaikkan dalam Bajet 2017.

“Kita berharap peruntukan sebanyak RM100 juta yang dite­rima sebelum ini ditambah kepada RM500 juta bagi memperkasakan kira-kira 13,000 koperasi di negara ini,” katanya.