Saturday 10 September 2016

Program ‘Memancing Laut Dalam Tourism Malaysia Bersama Media Dan Penggiat Industri Pulau Pinang 2016’


BALIK PULAU, 9 September 2016 –Tourism Malaysia Pulau Pinang buat julung-julung kalinya, akan membawa seramai 19 wakil media dan ejen pelancongan Pulau Pinang menyertai program memancing laut dalam selama 2 hari 1 malam di sekitar perairan Pulau Pinang bermula dari 9 hingga 10 September 2016.
Program ini bertujuan mempromosi Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi terbaik untuk aktiviti memancing laut dalam. Sebagai sebuah produk pelancongan minat khas, aktiviti ini dijangka mampu menarik minat kaki pancing dari seluruh dunia.
Sebanyak dua buah bot yang dilengkapi dengan kemudahan penginapan, dapur dan tandas serta dikendalikan oleh pengemudi bot berpengalaman telah disediakan untuk para peserta. Mereka akan dibawa melawat ke lubuk-lubuk ikan dan tukun seperti di Teluk Bahang, Gertak Sanggul dan Batu Maung untuk merasai sendiri pengalaman memancing di sekitar perairan dan kepulauan kecil Pulau Pinang.
Terdapat sembilan lokasi kapal karam, dan tujuh kepulauan kecil di sekitar perairan Pulau Pinang termasuklah lubuk-lubuk memancing yang hanya diketahui oleh para nelayan tempatan dan pemancing tegar.
Program ini diharapkan akan dapat memberi pendedahan yang meluas kepada wakil-wakil media mengenai aktiviti memancing di pulau tersebut selain dapat mencetuskan idea baru dalam kalangan ejen pelancongan untuk membangunkan pakej-pakej memancing laut dalam yang lebih kreatif agar dapat memikat para peminat pancing antarabangsa.
Kadar penginapan hotel di Pulau Pinang pada tahun 2015 ialah seramai 6.35 juta orang dan seramai 3.47 juta orang daripada jumlah keseluruhan tersebut ialah pelancong domestik manakala seramai 2.88 juta orang lagi ialah pelancong antarabangsa.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.