Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, sasaran itu realistik berdasarkan pelbagai program promosi yang dijalankan sejak akhir tahun lalu.

Kata beliau, program pertama diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 Oktober sehingga 2 November tahun lalu sebelum promosinya disambung ke Johor melalui program Beautiful Terengganu 2016.

“Sasaran jumlah pelancong sempena TMT 2017 adalah seramai 6.5 juta dengan dianggarkan antara 30 hingga 40 peratus merupakan pelancong antarabangsa.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai program promosi telah diadakan antaranya Pesona Terengganu 2015, Beautiful Terengganu 2016 dan juga promosi peringkat antarabangsa di beberapa bandar utama di China,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Beautiful Terengganu 2016 di pekarangan pusat beli-belah Angsana Mall Johor Bahru di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Terengganu, Datuk Mohd. Jidin Shafee.

Antara tarikan program tersebut termasuklah pelbagai pakej pelancongan menarik, makanan tradisional Terengganu serta ruang pameran.

Menurut Ahmad Razif, pihaknya juga akan mempergiatkan usaha mempromosi pelancongan ekonomi, pelancongan berasaskan sukan dan pelancongan kesihatan bagi menarik lebih ramai kehadiran pengunjung di masa depan.

“Antara tarikan baharu untuk pelancongan kesihatan adalah pembinaan sebuah hospital dalam hotel yang dijangka siap tahun ini, selain pelancongan sukan berkuda,” katanya.

Tambah Ahmad Razif, Johor Bahru dipilih kerana ia bukan sahaja merupakan lokasi tumpuan rakyat Johor, tetapi pengunjung Singapura.
-utusan online.