Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, daripada tujuh juta pelancongan yang mengunjungi negeri ini setiap tahun, antara 300,000 hingga 400,000 orang merupakan pelancong asing.

Menurut beliau, sempena Tahun Melawat Perak 2017, kerajaan negeri menyasarkan angka tersebut meningkat kepada 500,000 orang tahun depan.
“Kita melihat potensi pelancong asing dari Eropah, Asia se­perti China serta Singapura me­ningkat sempena Tahun Melawat Perak tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhar selepas Pelancaran Tahun Melawat Perak 2017 di Dataran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Tayyab; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Ke­senian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Pengerusi Lembaga Pe­ngarah Tourism Perak, Mohamad Kamil Shafie dan Presiden KTM Berhad,Leftenan Kolonel (B) Datuk Sarbini Tijan.

Menurut Zambry, untuk memudahkan kemasukan pelancong asing ke negeri ini, kerajaan ne­geri akan menjalinkan kerjasama dengan beberapa buah syarikat pe­nerbangan menerusi perkhidmatan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Kata beliau, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti beberapa halangan yang perlu diselesaikan dengan segera untuk merea­lisasikan sasaran Tahun Melawat Perak 2017.

Beliau berkata, antaranya infrastruktur pelancongan dari segi kemudahan asas untuk membo­lehkan pelancong tinggal di satu-satu kawasan.

“Kita turut memberi penekanan terhadap aspek kebersihan di semua kawasan tarikan pelancongan terutamanya tandas awam,” katanya.
-utusan online.