Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar berkata, keyakinan itu berikutan statistik menunjukkan kedatangan mereka semakin meningkat sejak tahun lalu.

“Kita akui industri pelancongan amat terkesan dengan tragedi tersebut terutama jumlah kedatangan pelancong dari China ke negara ini.

“Berdasarkan statistik, kema­sukan pelancong China ke negeri ini pada 2013 adalah sebanyak 500,000 orang dan merosot pada tahun berikutnya dengan hanya 286,863. Namun, pada tahun lalu seramai 529,215 pelancong datang ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan 37 wakil agensi pelancongan daripada 17 bandar dan negeri di China di sebuah hotel di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Tou­rism Malaysia negeri, Faharuddin Hatmin dan Pengarah Operasi Majistic Ekspress Holiday, Kenny Khan.

Menurut Ishak, perkembangan positif itu ekoran pelbagai pendekatan yang dilakukan termasuk kerajaan begitu menitikberatkan aspek keselamatan sepanjang perjalanan dari negara berkenaan ke sini.

“Keselamatan adalah keutamaan. Selain itu, rata-rata pengunjung yang datang ke Pahang berpuas hati dengan perkhidmatan dan produk pelancongan ditawarkan.

“Di samping keindahan alam semula jadi yang dimiliki seperti laut, pulau dan hutan tropika , kawasan tanah tinggi Genting Highlands dan Club Med di Cherating menjadi pilihan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, pihaknya yakin sasaran 600,000 pelancong dari China mampu dicapai pada tahun ini berdasarkan perkembangan positif tersebut.
-utusan online.