WAITGC yang berkonsepkan bermain golf sambil makan angin itu terbuka kepada semua kaki golf dari seluruh dunia yang ingin merasai cabaran bermain golf di Malaysia dan pada masa yang sama mengambil kesempatan meneroka keindahan dan kepelbagaian budaya serta kaum di negara ini.

Selain bermain golf, para pemain juga akan dibawa melawat pelbagai destinasi menarik yang mana mereka ini apabila pulang ke negara asal akan mempromosikan Malaysia kepada rakan-rakan.

Untuk pusingan pertama WAITGC 2016 yang berlangsung dari 7 hingga 10 Mac lalu di Johor Bahru, sebanyak 25 pasukan antarabangsa mengambil bahagian.
Setiap pasukan dianggotai empat orang pemain dan beraksi sebanyak tiga pusingan di dua lapangan berbeza.

Untuk pusingan pertama ini, pasukan-pasukan dari Brunei Darussalam membuktikan kejaguhan apabila menyapu bersih kedua-dua kategori pertandingan kategori gross dan stableford.

Pemain remaja kebangsaan Brunei, Mohamad Qazzri Fakri Aslimun, 19, mengemudi pasukan Mentingal untuk menjulang kejuaraan gross berpasukan dengan catatan 974 pukulan sepanjang empat pusingan di Kelab Golf Ponderosa dan Horizon Hills.

Selain Mohamad Qazzri, Mentingal turut dibarisi Pengiran Basheer, Pengiran Musa serta Johari mendahului dengan selesa sejak hari pertama dan akhirnya memastikan kejayaan pertama setelah tiga kali mencuba di WAITGC dengan kelebihan 49 pukulan.

“Kami bersyukur dengan kejayaan ini dan ia sangat manis buat pasukan Mentingal setelah kecewa pada penampilan pertama pada 2014, manakala tahun lalu kami hanya berada di tempat kedua kategori gross di Johor,” kata Qazzri.

Qazzri juga muncul selaku pemain terbaik individu dengan 317 pukulan.
Tempat kedua kategori gross menjadi milik Copper Heads dari Australia manakala Koala GC juga dari Australia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dengan 1,076 pukulan keseluruhan.

Sementara itu dalam kategori stableford, juara pusingan kelayakan pertama tahun lalu, TenTen dari Brunei berjaya mengekalkan kejuaraan tersebut setelah mengumpul 440 mata.

TenTen yang dibarisi Suhaini, Yussop Daud, Syed Isnizam dan Momin Syawal bagaimanapun diberi tentangan sengit oleh wakil Australia, Donuts sebelum menang dengan kelebihan lapan mata.

Tiga pasukan terbaik dari kategori gross dan dua dari kategori stableford di setiap pusingan kelayakan mara ke grand final WAITGC 2016 yang akan berlangsung di Pulau Langkawi hujung tahun ini. 
-utusan online.