Pengerusi Jawatankuasa Pelancong­an, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, banyak pengusaha hotel dalam dan luar negara berminat menyediakan kemudahan itu yang didorong pelbagai faktor menarik.
Beliau yang tidak menyatakan jumlah bilik dan hotel diperlukan itu berkata, mereka berminat melabur dalam industri hotel kerana Johor mempunyai pembangunan, perancang­an dan hala tuju jelas serta lokasinya strategik di rantau ini.

"Walaupun jumlah hotel yang bertaraf satu hingga lima bintang di Johor meningkat daripada 91 buah pada 2014 kepada 105 buah pada 2015 atau pe­ningkatan 15.4 peratus dalam masa satu tahun, bilangan tersebut masih belum mencukupi.

"Bagi jumlah bilik hotel pula terdapat 11,290 unit pada 2014 dan meningkat 13,381 unit pada 2015 iaitu peningkatan 18.5 peratus," katanya dalam sidang akhbar selepas simbolik upacara Topping Up Amari Hotel di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi United Malayan Land Bhd. (UMLand), Tun Musa Hitam; Pengarah Urusan Kumpulan UMLand, Dennis Ng Yew Khim dan Presiden merangkap ketua Pegawai Eksekutif Onyx Hospitality Group, Peter Henley.
Siew Kiong berkata, terdapat 61 buah hotel atau kira-kira 58 peratus dan 9,289 bilik hotel (atau 69.41 peratus) di Johor Bahru daripada keseluruhan jumlah kemudahan penginapan tersebut yang terdapat di negeri ini.

Beliau memberitahu, perkhidmatan sektor perhotelan amat diperlukan di Johor berikutan statistik kedatangan pelancong dalam dan luar negara yang meningkat terutama dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

"Seramai 3.9 juta pelancong datang ke Johor pada 2012, 5.77 juta pelancong (2013), 6.4 juta pelancong (2014) dan jumlah pelancong pada tahun lalu masih belum diketahui yang sebelum ini disasarkan 6.5 juta pelancong," katanya.

Sementara itu, Yew Khim berkata, jumlah pelaburan untuk Hotel Amari adalah kira-kira RM200 juta yang dijadualkan beroperasi pada Disember tahun ini dan akan menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan bagi peringkat permulaan.

Beliau berkata, Onyx Hospitality Group iaitu sebuah syarikat pengurusan hotel terkemuka di Asia akan menguruskan hotel itu yang mempunyai 242 bilik dan memiliki banyak kelebihan kerana kedudukannya di tengah bandar raya ini.

"Contohnya jarak hotel ini ke JB Sentral hanya 450 meter, ke dua pusat beli-belah utama iaitu Komtar JBCC (150 meter) dan City Square (250 meter) manakala Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada pula (250 meter)," katanya.