Seorang pemandu pelancong, Ramlan Mat Amin, 42, berkata, pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan di kawasan hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun berkenaan terus mendapat sambutan daripada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun katanya, para pengusaha pelancongan tetap mengutamakan langkah ke­selamatan dan kebajikan pelawat dalam semua kegiatan ekstrem di Taman Negara Kuala Tahan ber­asaskan peraturan pihak berkuasa terutama dalam keadaan cuaca panas ketika ini.

“Boleh dikatakan setiap hari ini saya menguruskan pakej antara 20 hingga 50 pelancong walaupun cuaca panas sedang melanda negara,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada, seorang pelancong asing, Wigburg Vohn, 25, berkata, dia bersama rakan-rakannya sudah lama berhasrat mengunjungi Taman Negara Kuala Tahan setelah melihat promosi sebuah agensi pelancongan negara ini di Amsterdam tahun lalu.

Dia yang bersama 26 penuntut jurusan Undang-Undang Universiti Rotterdam di Belanda berkata, Taman Negara Kuala Tahan menjadi persingggahan pertama dalam kunjungan mereka ke negara ini sebelum berlepas ke Pulau Tioman dan Pulau Pinang.

“Cuaca panas tidak menghalang kami melakukan kegiatan rekreasi malah teruja dengan keindahan hutan tropika ini,” katanya.
-utusan online.