MERAPOH
bukan sekadar pekan kecil di daerah Lipis, tetapi lokasi yang menjadi sempadan
dua negeri itu diiktiraf sebagai taman warisan geologi yang terbesar di
Malaysia.
Di
situ terdapat lebih 500 gua batu kapur dengan anggaran usia lebih 130 juta
tahun, malah sebahagiannya dikesan mempunyai lukisan purba berusia antara 100
hingga 200 tahun.
Aktivis
alam sekitar tempatan, Sabrie Zoo, 44, berkata, usaha pencarian gua di kawasan
itu sudah dimulakan sejak 2011 dan sehingga kini, sebanyak 187 berjaya
direkodkan.
Bagaimanapun,
tidak semua gua itu dibuka kepada pelancong, sebaliknya hanya 12 sahaja boleh
dikunjungi.
Sabrie berkata, gua di Merapoh boleh dianggap sebagai 'syurga' bagi
pengkaji dan peminatnya, kerana memiliki ruang dalaman yang luas selain formasi
batuan unik ditambah struktur geologinya.
"Antara gua menarik yang sering menjadi tumpuan ialah Gua Air
Mata Duyung. Ia dikenali dengan keindahan formasi stalaktit dan stalagmit
selain kolam air jernih.
"Gua Seribu Cerita pula menjadi tumpuan kerana kewujudan
lukisan purba di dinding gua.
"Penerokaan gua itu juga agak mencabar kerana pelawat perlu
merangkak, memanjat dan berenang berdasarkan kedudukan dan bentuk gua,"
katanya.
Selain itu Gua Hari Malaysia turut menarik perhatian pengunjung
kerana di dalamnya terdapat sungai sepanjang satu kilometer, air terjun, dan
kolam semula jadi.
Gua Hantu Menari pula menjadi tarikan perhatian pengunjung kerana
kemunculan cahaya semula jadi yang membentuk bayangan seperti lembaga sedang
menari.
"Keunikan gua-gua ini menyebabkan ia dimasukkan di bawah
kategori sendiri misalnya ada gua untuk pendidikan, pengembaraan selain
fotografi dan arkeologi.
" Gua Jinjang Pelamin misalnya, sangat popular dalam kalangan
jurufoto profesional kerana formasi dalaman yang indah dan lukisan purba pada
dindingnya," katanya.
Bagaimanapun, gua batu kapur bukan satu-satunya tarikan di Merapoh.
Sebaliknya pekan berjarak 77 kilometer dari Kuala Lipis itu turut menawarkan
keindahan alam semula jadinya.
Hal ini diakui pemandu pelancong, Husnan Husin, 42, yang kerap
membawa pengunjung menerokai ' Tree Top Walk Merapoh', iaitu laluan kanopi atau
jambatan gantung sepanjang 612 meter yang dibina oleh Jabatan Perlindungan
Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Katanya, laluan itu dibina pada ketinggian antara lima hingga 23
meter dari permukaan tanah, membolehkan pelawat merasai pengalaman berjalan di
atas pokok sambil menikmati keindahan hutan hujan tropika dari perspektif unik.
"Tidak jauh dari situ, Taman Negara Sungai Relau berfungsi
sebagai pintu masuk utama ke Gunung Tahan, gunung tertinggi di Semenanjung
Malaysia dengan ketinggian 2,187 meter.
"Lokasi ini adalah destinasi wajib bagi pendaki tegar yang
ingin menawan puncak tanah tinggi yang mencabar itu," katanya.
Selain itu katanya, sungai-sungai di situ turut menarik minat mereka
yang gemar berkayak kerana laluannya mencabar adrenalin.
Untuk rekod, Taman Negara Sungai Relau terletak kira-kira tujuh
kilometer dari Merapoh. Ia adalah salah satu pintu masuk ke Taman Negara Pahang
yang menawarkan pelbagai aktiviti seperti pendakian ke Gunung Tahan, safari
malam, penjelajahan gua, dan pemerhatian hidupan liar.
Laluan pendakian dari Sungai Relau ke Gunung Tahan mengambil masa
sekitar lima hari dan dikenali sebagai salah satu laluan pendakian paling
mencabar di negara ini.
Anak tempatan, Muhammad Hafizi Ilminuddin Zulkapli, 31, berkata
keunikan kampung halamannya itu turut menarik pelancong antarabangsa.
Berdasarkan pengalamannya membawa pelancong asing, sebahagian mereka datang
dari Belanda, Austria, Jerman dan Croatia.
Katanya, kebanyakan pelancong itu mengakui gua di Eropah umumnya
berstruktur bawah tanah, namun gua di Merapoh terbentuk di atas permukaan tanah
dan menyerupai bukit, sekali gus memberikan pengalaman berbeza.
Bagaimanapun katanya, dari satu segi hubungan erat antara kerajaan,
ahli akademik, serta masyarakat setempat perlu menjadi asas dalam memelihara
dan memajukan kawasan itu.
Ketika ini katanya, kekurangan infrastruktur pelancongan masih
menjadi cabaran utama, khususnya dari segi kemudahan penginapan seperti asrama
dan chalet, ketiadaan fasiliti mencukupi mengekang pelancong untuk menetap
lebih lama dan meneroka lebih banyak gua.
"Untuk ke kawasan gua, pelancong perlu menyewa kenderaan pacuan
empat roda dan bagi mereka yang serius untuk mengkaji gua, masa yang panjang
diperlukan.
"Dalam sehari, mereka hanya sempat masuk empat hingga lima gua
sahaja," katanya.
Tempoh itu katanya hanya membenarkan lawatan singkat, pengalaman dan
pemahaman terhadap struktur geologi serta sejarah gua sangat terhad dan hanya
menjadi ruang untuk merakam gambar sahaja.
-berita harian online.