PENERBANGAN sejam 50 minit dari Kuala Lumpur bukanlah tempoh yang
lama untuk tiba ke destinasi pelancongan bajet yang menjadi antara pilihan
utama di Malaysia iaitu Kuching, Sarawak.
Bandar raya itu menawarkan seribu satu keunikan, bermula dengan
kepelbagaian makanan, keramahan penduduk berbilang kaum selain warna-warni
budaya dan keindahan alam semula jadinya, selain Kuching turut merekodkan
sejarah perkembangannya yang mempersona.
Malah asal-usul nama Kuching itu sendiri dikaitkan dengan pelbagai
teori, namun memetik laman web Pejabat Residen Bahagian Kuching, nama bandar
raya itu sudah pun digunakan sejak pengembara Inggeris, James Brooke, pada
tahun 1839.
Semasa era pemerintahan Brooke juga, Kuching sudah memainkan peranan
penting sebagai pusat perdagangan serantau, khususnya dalam jaringan
perdagangan Indo-China dan Asia Pasifik. Hal ini tentu saja disebabkan
kedudukannya yang strategik di selatan kepulauan Borneo.
Hari ini, Kuching adalah destinasi pelancongan bajet popular
bersandarkan data terkini platform pelancongan digital terkenal, Agoda.
Menariknya jika anda ke Kuching, ia bukan saja menjadi gerbang utama
meneroka Sarawak selain lajak ke Kalimantan, lokasi pelancongan yang ditawarkan
juga tidak terlalu jauh untuk dikunjungi.
Lokasi wajib
Misalnya, dari pusat bandar anda boleh meneroka Taman Negara Bako
yang hanya memakan masa sekitar 45 minit sahaja. Ia adalah lokasi wajib
dikunjungi jika anda mahu menikmati alam semula jadi yang indah apatah lagi
hampir semua spesis tumbuhan yang ditemui di Borneo boleh ditemui di sini.
Kunjungan ke Taman Negara Bako juga tidak lengkap jika tidak melihat
sendiri 'monyet hidung mancung' atau disebut 'Orang Belanda' malah jika
bernasib baik, mungkin terserempak dengan spesis ikan lumba-lumba.
Selain Taman Negara Bako, Kuching turut menawarkan beberapa
destinasi pelancongan lain yang tidak jauh dari pusat bandar misalnya Pusat
Hidupan Liar Semenggoh, Kampung Budaya Sarawak selain mercu tanda unik seperti
Dewan Undangan Negeri Sarawak, Astana, Fort Margherita, Muzium Kucing dan
Muzium Sarawak yang memastikan kunjungan anda ke bandar raya itu sukar
dilupakan.
Jika anda berkunjung sekitar Jun atau Julai, Kuching selalu meriah
dengan Rainforest World Music Festival yang dimulakan sejak 1998.
Satu lagi lokasi pelancongan yang tidak harus dilepaskan jika
berkunjung ke Kuching adalah Borneo Cultures Museum. Muzium ini yang dibuka
kembali kepada awam pada 2022 susulan projek pembangunan semula dibina dengan
rekaan berinspirasikan motif kraf tradisional Sarawak serta Bangunan Dewan
Undangan Negeri Sarawak yang terletak berhampiran.
Ia adalah muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia
Tenggara, menghimpunkan kepelbagaian artifak sejarah dan warisan budaya
masyarakat tempatan Sarawak, serta etnik lain yang terdapat di Borneo.
Selain Kuching, beberapa destinasi pelancongan luar negara turut
menjadi antara destinasi tarikan pelancongan bajet antaranya Surabaya,
Indonesia; Tirupati, India dan Hat Yai, Thailand.
Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, Fabian Teja, data
berkenaan membuktikan bahawa pelancong masih bijak dalam memilih destinasi yang
bukan sahaja menarik, tetapi juga menjimatkan.
"Sama ada meneroka lorong-lorong bersejarah di Kuching,
menikmati sajian jalanan di Hat Yai, atau menyelami keunikan budaya di
Tirupati, semuanya memberi peluang untuk mencipta kenangan tanpa membuat dompet
anda 'menangis'," katanya.
Kaya sejarah
Tambahnya, Surabaya, sebagai destinasi paling murah, terkenal dengan
sejarahnya yang kaya dan suasana bandar yang meriah, selain menjadi pintu masuk
ke Gunung Bromo dan Pulau Madura.
Tirupati pula menarik dengan keindahan Kuil Venkateswara serta
festival budaya yang meriah, manakala Hat Yai menampilkan keseimbangan antara
kesibukan kota dan akses ke pantai-pantai cantik di sekelilingnya.
Turut tersenarai dalam destinasi pelancongan bajet ialah Dalat,
Vietnam yang terkenal dengan suasana sejuk dan landskap bergaya kolonial, serta
Iloilo, Filipina, destinasi menawarkan gabungan pantai memukau dan tinggalan
sejarah kolonial Sepanyol.
Senarai destinasi pelancongan bajet turut menyenaraikan destinasi
lain seperti Nagoya, Jepun dan Kaohsiung, Taiwan serta Daejeon, Korea Selatan,
yang menawarkan tarikan sains, taman rekreasi dan kolam air panas.
-berita harian online.