KUANTAN: Pertandingan memancing Jelajah Joran Pantai Timur (JJPT) siri 3 yang akan dilangsungkan di Pantai Sepat, di sini, Ahad ini, dijangka membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari seluruh Semenanjung.
Acara siri ketiga JPPT yang mendapat sokongan Tourism Malaysia sebagai satu daripada kempen Cuti-Cuti Malaysia , menawarkan hadiah wang tunai lebih RM36,000 kepada pemenang pertama hingga 100.
Pertandingan anjuran West Coast Surfcaster (WCS) yang dijadual bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 untuk juara, naib juara (RM4,000) dan ketiga (RM2,000).
Jurucakap penganjur, Sharudin Adnan, memaklumkan pemenang keempat pula akan membawa pulang hadiah wang tunai RM600, kelima (RM500), keenam hingga 10 (masing-masing RM250) dan ke-11 hingga 100 (masing-masing RM150).
"Pertandingan ini dijangka membantu industri pelancongan domestik dengan pergerakan peserta dari negeri seluruh Semenanjung. Pantai Sepat sering jadi lokasi pertandingan memancing di Pahang, sudah beberapa kali pertandingan memancing diadakan di situ yang ada pantai panjang dan cantik.
"Pantai ini ada potensi besar kerana dihuni pelbagai spesies ikan seperti pari, gerong belang, ebek dan todak. Selain memancing, peserta bersama keluarga boleh bercuti dan turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan,'' katanya.
Katanya, peserta dikenakan bayaran RM90 satu joran, manakala pemancing kelainan upaya pula hanya dikenakan RM70 dengan kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula Sabtu ini pada jam 3 petang hingga 10 malam sebelum bersambung jam 8 pagi Sabtu hingga pertandingan dimulakan.
Beliau berkata, semua spesis ikan dipertandingkan kecuali sirat-sirat dan mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 019-6203040 atau 012-6521592.
-berita harian online.