Tuesday, 21 February 2012

Gua Niah jadi tarikan


Pintu masuk ke Taman Negara Niah, Sarawak sedia menanti kedatangan pengunjung. - utusan/RACHEL NINA.

NIAH 20 Feb. - Batu Niah, 'pekan' koboi yang terletak kira-kira 103 kilometer dari Miri sememangnya mempunyai tarikan serta keunikan tersendiri dan salah satu daripadanya ialah Taman Negara Niah. Terletak berhampiran pekan Batu Niah dan hanya dipisahkan oleh Sungai Niah, taman negara itu sentiasa menggamit pelancong asing dan pelawat tempatan.

Tarikan utamanya sudah tentu gua-gua yang pernah menjadi penempatan terawal manusia zaman Praneolitik dan Neolitik kira-kira 40,000 tahun lalu. Jadi, jika berkunjung ke Batu Niah, apa salahnya meluangkan masa melawat Gua Niah sambil meneroka lokasi yang amat bersejarah dalam kehidupan awal manusia di rantau Asia.

Untuk sampai ke sana, pengunjung perlu menggunakan perahu menyeberangi Sungai Niah selebar 50 meter menggunakan perkhidmatan bot penambang. Perjalanan hampir empat kilometer untuk menjejaki tamadun manusia zaman Praneolitik dan Neolitik di Gua Niah memang berbaloi walaupun baju basah lencun dengan peluh. Panas terik matahari ketika menyusuri titi kayu tidak terasa kerana dilindungi pokok-pokok hutan.

Apatah lagi jika semakin menghampiri gua yang menyimpan seribu kenangan silam itu, sejuknya semakin terasa. Berada di dalam gua batu kapur yang dikatakan wujud kira-kira sejuta tahun lampau terasa bagaikan merentasi mesin masa untuk merasai sendiri kehidupan manusia zaman dahulu. Bagi yang terlupa membawa bekalan minuman, tidak perlu susah hati kerana sejurus sebelum sampai ke pintu gua, anda akan menemui beberapa penduduk rumah panjang berdekatan menjual minuman.

Petanda Gua Niah semakin hampir tidak sukar untuk diketahui kerana bau najis kelawar dan burung layang-layang yang tengik akan mencucuk hidung anda. Aktiviti mengambil sarang burung layang-layang oleh masyarakat tempatan masih dapat dilihat melalui kewujudan galah-galah buluh panjang di sepanjang gua berkenaan.

Bagi yang pertama kali menjejaki gua ini, jangan keliru kerana gua pertama yang ditempuhi ialah Gua Dagang manakala Gua Niah yang mempunyai keluasan lantai kira-kira 10.5 hektar pula terletak hanya beberapa meter dari situ. Pelawat atau pelancong juga dinasihatkan supaya membawa lampu suluh atau menyewanya di Pangkalan Lobang kerana keadaan dalam Gua Niah gelap-gelita.

Sesampainya di pintu gua itu, anda akan terus dapat melihat bekas tapak penggalian arkeologi yang menandakan kewujudan manusia moden (Homo Sapiens). Bukti kewujudan tengkorak manusia kuno berkenaan ditemui pada 7 Februari 1958 sekali gus disebut penemuan paling penting di Asia Tenggara pada ketika itu. 

Penemuan itu menarik kedatangan ahli arkeologi yang membawa kepada penemuan-penemuan lain termasuk subang jed, bekas tembikar, peralatan batu, cengkerang, tulang (peralatan dan makanan) serta lebih 200 perkuburan manusia. Bagi pelawat yang ingin mengetahui secara lanjutan mengenai sejarah gua ini, sebahagian artifak berkenaan terdapat di Muzium Arkeologi Niah yang terletak di Pangkalan Lobang.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.