PERKAMPUNGAN Hang Tuah di Duyong, Melaka
bakal dibangunkan bagi manfaat negeri
dan masyarakat setempat.– UTUSAN /MOHD.
AZIM ABD RAHMAN
|
MELAKA 25 Jun - Perkampungan
Hang Tuah di sini wajar untuk dibangunkan kerajaan negeri kerana boleh memberi
manfaat kepada masyarakat dan negeri ini dari sudut pelancongan, ekonomi
mahupun rekreasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li berkata, langkah itu penting untuk
dilakukan kerajaan negeri kerana lokasi tersebut merupakan kawasan warisan.
Sehubungan itu, katanya
cadangan membangunkan Perkampungan Hang Tuah itu akan di-sampaikan kepada Exco
kerajaan negeri berkenaan selain Ketua Menteri, Adly Zahari dalam masa
terdekat.
“Mereka (Exco dan Ketua
Menteri) sudah tahu apa yang saya nak buat, sebab perkara ini ada disebut dalam
ceramah-ceramah saya sebelum ini.
“Mereka pun tahu, tempat ini
merupakan satu-satunya kawasan yang ‘bernyawa’ dalam Dewan Undangan Negeri
(DUN) Duyong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui pemberita semasa Program Kacau Dodol Duyong di Rumah Tradisional
Perkampungan Hang Tuah di sini.
Yang turut hadir, Yang
Dipertua Persatuan Jaringan Adat Budaya Anak Tempatan (JABAT), Datuk Seri Don
Hussin.
Tambahnya, semenangnya ada ada
kawasan-kawasan pelancongan yang menarik di negeri ini seperti di Jonker
Street, Melaka Raya dan Dataran Pahlawan.
“Bagaimanapun semua (kawasan
berkenaan) lebih menampilkan ciri-ciri moden.
“Itulah sebabnya Perkampungan
Hang Tuah ini perlu dibangunkan menjadi sebagai lokasi pelancongan di negeri
ini,” katanya.
Sementara itu, Shen Li
memberitahu, kawasan perkampungan itu bukan sahaja boleh dibangunkan sebagai
pusat pelancongan, tetapi pada masa sama turut mampu menjadi tempat rekreasi
untuk masyarakat negeri ini.
Menurutnya lagi, sekiranya Perkampungan
Hang Tuah dibangunkan secara terurus, masyarakat setempat boleh mendapat
manfaat dari segi ekonomi sekiranya berjaya dinaikkan sebagai pusat
pelancongan.
“Sekiranya dipasang lampu,
kesemuanya akan menjadi cantik dan satu trek seperti di Stadium Tun Fatimah
boleh dibangunkan.
“Sebaliknya jika dibiarkan
sahaja, tidak mustahil kawasan ini akan disalah gunakan oleh pihak tidak
bertanggungjawab terma-suk dijadikan sarang penagihan dadah,” katanya.
-utusan online.