Ia terdiri daripada gugusan sembilan pulau kecil iaitu Pulau Agas, Pulau Lalang, Pulau Saga, Pulau Nipis, Pulau Rumbia, Pulau Payong, Pulau Buluh, Pulau Batu Putih dan Pulau Batu Hitam.

Terletak 18 kilometer dari Bagan Datoh dan 21 kilometer dari Lumut, pulau itu juga di­sifatkan syurga bagi penggemar penyelam skuba.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan Pulau Sembilan yang sebelum ini di bawah daerah Manjung, kini diletakkan di bawah pentad­biran daerah baharu iaitu Bagan Datoh.

Pengerusi Jawatankuasa Be­lia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, Pulau Sembilan memiliki kein­dahan alam semula jadi, keindahan pantai dan kaya dengan pelbagai spesies ikan.

Menurut beliau, ini menjadikan pulau tidak berpenghun itu berpotensi besar untuk menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup berkata, kerajaan ne­geri sememangnya memberikan perhatian terhadap usaha mempromosikan Pulau Sembilan da­lam peta pelancongan dunia.

Katanya, untuk itu beberapa pendekatan akan dilaksanakan namun memelihara kehijauan dan keindahan semula jadi pulau tersebut tetap menjadi ke­utamaan.

“Selain keindahan semula jadi, Pulau Sembilan dilingkungi kawasan perairan yang jernih, kaya dengan pelbagai spesis ikan yang digemari pelancong.
“Jumlah kedatangan pelancong meningkat setiap kali musim cuti.

“Kita akan memastikan ke­datangan pelancong tidak men­cemarkan keindahan pantai, alam semula jadi dan kawasan perairannya,” katanya.

Menurut Shahrul Zaman, untuk memastikan pencemaran tidak berlaku, semua agensi pelancong yang mahu membawa pelancong ke pulau tersebut dikehehendaki mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak ber­kenaan.

Katanya, jumlah kedatangan pelancong ke pulau berkenaan me­ningkat daripada 120 orang kepada 200 orang ketika ini.

Beliau berkata, para pelancong diminta ti­dak membuang sampah untuk memelihara kebersihan dan ke­indahan semu­la jadi pulau berkaitan.

“Perak mempuyai tiga destinasi pelancongan bertaraf dunia iaitu Taman Negara Royal Belum, Pulau Pangkor dan Pulau Sembilan.

“Diharapkan Pulau Sembilan mampu menjadi pilihan pelancong dan menjadi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, pelancong yang ditemui ternyata mengakui kagum dengan keindahan semula jadi Pulau Sembilan.

Muhammad Azmudden Abdul Rahim, 31, berkata, dia tertarik dengan keindahan Pulau Sembilan yang disifatkan memiliki keunikan tersendiri yang tidak terdapat di mana-mana pulau peranginan lain.

“Pulau Sembilan perlu dimajukan lagi dengan pelbagai kemudahan se­perti chalet untuk keselesaan para pelancong,” katanya.

Saripah Abdullah, 55, ber­kata, sebelum ini dia hanya mengetahui keindahan Pulau Sembilan daripada rakan-rakan yang pernah bercuti di sini.

Menurutnya, berpandukan info menarik yang diterima, mendorong dia merancang sejak lebih dua tahun lalu bagi menjejakkan kaki ke pulau ini yang terbukti menarik.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat datang ke sini. Keindahan pulau ini seperti yang diceritakan oleh rakan-rakan.

“Jika pulau ini mempunyai kemudahan chalet, ia tentunya lebih menarik kerana kini pelancong terpaksa bermalam di dalam khemah,” katanya.