Menterinya, Datuk Seri Moha­med Nazri Abdul Aziz berkata, persediaan yang dilakukan bukan hanya merangkumi keperluan kemudahan malah turut melibatkan Kementerian Kesihatan dalam usaha mengelak wabak menular di dalam negara.

“Ini bukan kali pertama dunia dilanda pelbagai wabak seperti Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), selesema burung dan terkini virus Zika. Pengalaman lalu menjadikan saya benar-benar yakin bahawa kita sudah bersedia serta terlindung daripada wabak.

“Kementerian Kesihatan juga mengambil bahagian dalam industri pelancongan iaitu pelancongan kesihatan, jadi tidak usah bimbang. Jika kita terlalu risau dan menutup pintu kemasukan pelancong, kita tidak akan berjaya,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis Pelancaran Laman Web Pengguna dan Korporat Tourism Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Ong Hong Peng; Pengerusi Tou­rism Malaysia, Wee Choo Keong; Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Zainol Abidin Omar dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammed Taiyab.

Laman web Tourism Malaysia kini dinaik taraf kepada www.malaysia.travel sebagai laman web pengguna yang merupakan salah satu langkah bagi memudahkan proses mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dengan lebih efisien dan efektif.

Tambah Moha­med Nazri, sasaran 36 juta pelancong itu juga mudah tercapai selepas kerajaan mempermudahkan kemasukan pe­lancong asing dengan mempercepatkan pelaksanaan e-Visa melibatkan beberapa negara yang telah dikenal pasti termasuk China.

Dalam perkembangan lain, Moha­med Nazri menyokong dasar kerajaan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang tidak diendahkan oleh rakyat sendiri.
-utusan online.