Penggiat industri pelancongan Perak hadir pada sesi libat urus yang dianjurkan Tourism Malaysia sebagai persediaan TMM2026 di Ipoh.
IPOH – Tourism Malaysia menyasarkan kutipan hasil pelancongan RM270 bilion dengan kehadiran 45 juta pelawat asing sepanjang tahun ini.
Timbalan Ketua
Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar, berkata sasaran
tersebut dilihat mampu dicapai berdasarkan perkembangan positif setakat ini
apabila negara merekodkan ketibaan 6.7 juta pelawat asing sehingga Februari
lalu.
“Jumlah ini
mencatatkan peningkatan 31.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu serta
peningkatan 14.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.
“Pada 2024
sahaja, negara menerima kehadiran 38 juta pelawat asing iaitu lonjakan 31.1
peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya ketika Sesi Libat Urus Bersama
Penggiat Industri Pelancongan Negeri Perak di sini pada Selasa.
Turut hadir,
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze
Yee dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul
Khalid.
Menurut
Shahrin, sebanyak 10 pasaran utama menyumbang jumlah ketibaan tertinggi ialah
dari Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea
Selatan, Australia dan Taiwan.
Tambahnya,
kerjasama erat antara sektor awam dan swasta amat penting bagi memastikan
kejayaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Beberapa sesi
libat urus bersama negeri sedang dilaksanakan bagi memperkukuh persediaan
menjelang TMM2026, di samping membina momentum merealisasikan agenda nasional
ini,” katanya.
Beliau turut
memaklumkan sebanyak RM130 juta diperuntukkan tahun ini dalam bentuk geran
sokongan bagi merangsang pertumbuhan industri pelancongan.
Antara geran
tersebut termasuk Geran Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor
Pelancongan (GSSP) dan Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC).
“Diharapkan penggiat industri memanfaatkan peluang ini untuk menganjurkan acara serta aktiviti promosi yang mampu menyemarakkan sambutan TMM2026,” ujarnya.
Sementara itu,
Loh Sze Yee berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan tambahan RM4 juta
bagi menaik taraf dan menambah baik infrastruktur pelancongan di seluruh negeri
sebagai sebahagian persiapan menyambut TMM2026.
“Kami berharap
Tourism Malaysia dapat terus membantu mempromosikan pelancongan negeri ini
melalui platform nasional dan antarabangsa.
“Kami juga
memohon Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempertimbangkan
pemberian geran serta bantuan kepada pemain industri supaya mereka dapat terus
berkembang, berinovasi dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.