Saturday, 20 March 2021

Kerjasama MOTAC-GMBB Tawar Peluang Pemasaran Produk Kraf



Penyusutan kadar jangkitan COVID-19 di Malaysia memberi sinar harapan baharu kepada industri pelancongan, seni dan budaya, yang hampir dua tahun terjejas berikutan penularan pandemik kesihatan. Bagi menjamin kelangsungan dan kebangkitan semula industri yang disifatkan antara paling teruk terjejas ini, penerapan jalinan kerjasama serta perpaduan pelbagai pihak ialah ‘nadi' utama ke arah usaha pemulihan ekonomi, secara amnya.

Faktor yang sering membelenggu industri seni dan budaya ketika ini untuk merintis kebangkitan semula ialah kekurangan platform atau wadah untuk penggerak industri menyajikan kandungan kreatif mereka. Sehubungan itu, inisiatif diterajui pihak swasta, tanpa semata-mata mengutamakan kepentingan menjana pendapatan, sebaliknya untuk mengetengahkan bakat dan kreativiti penggerak industri ini amat dihargai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Lawatan hari ini ke GMBB, iaitu sebuah pusat beli belah yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur bersama-sama Ketua Setiausaha MOTAC, Dato' Dr Noor Zari Hamat dan pengurusan tertinggi kementerian ialah contoh terbaik suatu kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan, menerusi MOTAC. Pusat beli belah dengan kapasiti 465 unit kedai dan setinggi sembilan tingkat ini menyajikan peluang kepada penggerak industri untuk mempamerkan kreativiti, kraf, seni fotografi, lukisan, seni visual, batik, kompilasi buku rakyat dan pelbagai lagi khazanah yang dapat diterokai pengunjung.

Sebagai mekanisme timbal balik dan menggalakkan usaha sedemikian, kerajaan turut menawarkan potongan cukai di bawah Subseksyen 34(6)(k), Akta Cukai Pendapatan 1967 Bagi Penajaan Aktiviti Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Bantuan pentadbiran dan kegiatan persatuan-persatuan serta badan-badan bukan kerajaan berkaitan kebudayaan juga disediakan, bagi memperkukuh segenap usaha yang ingin dirintis sektor swasta.

Sekiranya diselami selok-belok Kuala Lumpur, beberapa tempat dan lokasi di ibu kota menyajikan peluang sedemikian, antaranya Pasar Seni, Jalan Bukit Bintang, Muzium Negara dan Kraftangan Malaysia. Namun, satu kelebihan yang ditawarkan hab seni dan budaya sekiranya ia ditempatkan di pusat beli belah, ialah ia mampu menawarkan aneka kepentingan, tarikan dan hiburan, selain pada masa sama memberi peluang seisi keluarga untuk bersiar-siar.

Berteraskan kerjasama strategik ini, MOTAC menaruh keyakinan industri seni dan budaya khususnya berupaya bangkit semula, selari pengumuman kerajaan dalam mengklasifikan Kuala Lumpur dan Selangor sebagai negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berkuat kuasa dari 18 Mac hingga 31 Mac ini. Siri kelonggaran yang memberi ruang kepada industri pelancongan tempatan, seni dan budaya untuk kembali bernafas ini mampu merancakkan semula ekonomi Malaysia, sekali gus menjadi pemangkin semangat kepada penggiat industri.

Meskipun berdepan pelbagai rintangan dan sekatan, bagi membendung penularan COVID-19 di Malaysia, beberapa aspek industri kraftangan mula mencatatkan bibit pemulihan. Ia diterjemahkan menerusi inisiatif E-Kraf Bazar (EKB) yang mempunyai jumlah ahli berdaftar seramai 14,347 orang, dengan penyertaan usahawan kraf seramai 1,510 orang. Perangkaan bagi penjanaan nilai jualan EKB, bagi tempoh April 2020 hingga 31 Januari 2021 pula ialah RM13,406,718.39.

Sejak kebelakangan ini, ramai yang mula menunjukkan minat terhadap seni dan budaya, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa dan pandemik COVID-19, berkemungkinan kerana selama ini orang ramai yang berkemampuan sering berkunjung ke luar negara. Justeru, mereka tidak mempunyai kesempatan untuk menerokai segenap keunikan yang mampu disajikan oleh tanah air tercinta. Hikmah di sebalik COVID-19 ini menyediakan peluang untuk kita menstrukturkan semula corak bagaimana kita tampilkan bakat, kreativiti, produk tempatan yang sering dipromosikan di Malaysia.

Secara tidak langsung, kita menjadi lebih patriotik dengan membeli lebih banyak produk tempatan, sekali gus menyumbang dan menyokong penggiat industri. MOTAC sentiasa cuba untuk mengetengahkan pelbagai keunikan kraf dan produk tempatan, justeru kerjasama daripada sektor swasta seperti ini amat dialu-alukan bagi mencapai matlamat yang digariskan kementerian.

Menerusi ruang yang disediakan di pusat beli belah seperti ini, MOTAC berharap lebih banyak persembahan kebudayaan dan kesenian dapat dianjurkan, untuk tontonan umum. Pendekatan seperti ini berupaya menarik kedatangan pelancongan tempatan dan warga asing yang sudah lama tinggal di Malaysia. Memandangkan cuti penggal persekolahan yang akan datang pada penghujung bulan ini, seisi keluarga boleh merancang untuk mengunjungi tempat-tempat sebegini yang menawarkan segenap keunikan Malaysia, hasil air tangan warga tempatan.

Semoga kelonggaran yang diberikan untuk melancong di pelbagai destinasi tempatan dimanfaatkan sebaiknya, tetapi pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa dijadikan sandaran bagi membendung penularan COVID-19. Melanconglah dengan bertanggungjawab, sambil melestarikan industri yang kini dahagakan kunjungan, perhatian dan sokongan dalam kalangan rakyat di Malaysia.

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.