Wednesday, 12 June 2019

Perlis rancang Tahun Melawat Perlis 2021


KANGAR, 11 Jun (Bernama) -- Kerajaan Perlis bercadang menjadikan tahun 2021 sebagai Tahun Melawat Perlis selepas Tahun Melawat Malaysia 2020, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Azman Mohd Yusof.

Bagi menjayakan program itu, katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perhutanan Negeri.

"Bagi menjadikan Tahun Melawat Perlis suatu kenyataan, kerajaan negeri membuat kajian dan perancangan untuk dibentangkan pada mesyurat Exco tidak lama lagi untuk diputuskan,” katanya kepada media semasa ditemui pada Majlis Aidlfitri Bersama Rakyat peringkat negeri di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke majlis itu.

Tuanku Tengku Fauziah turut berkenan mengurniakan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan anggota-anggota Exco Kerajaan negeri merupakan antara lebih 15,000 orang yang hadir.

Azman berkata pusat-pusat pelancongan di Perlis akan dinaik taraf supaya lebih selesa untuk dikunjungi terutama oleh pelancong luar.

Statistik menunjukkan purata kira-kira empat juta pelancong mengunjungi Perlis dalam tempoh tiga tahun lepas dan memberi kesan kepada perkembangan ekonomi negeri ini, katanya.

"Daripada aspek kewangan, kita hadapi sedikit masalah namun perkara boleh diatasi kerana kita akan libatkan pelbagai pihak seperti Badan Bukan Kerajaan, orang ramai dan pihak berkepentingan seperti penggiat pelancongan,” katanya.
-bernama.

No comments:

Post a Comment