Thursday 9 November 2017

Kuala Lumpur ke-10 
bandar raya paling dikunjungi


KUALA LUMPUR 8 Nov. – Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-10 daripada 100 destinasi bandar teratas yang paling ba­nyak dikunjungi pelancong asing pada tahun ini mengalahkan Rom di Itali dan Tokyo di Jepun yang masing-masing berada di kedudukan 12 dan 13. 

Kunjungan pelancong asing ke Kuala Lumpur dijangkakan seramai 12.8 juta orang pada tahun ini berbanding 12.29 juta orang pada tahun lalu.

Keputusan yang diperoleh daripada laporan penyelidikan Euromonitor International (Euromonitor) itu turut menunjukkan penguasaan bandar-bandar Asia dalam menarik kedatangan pelancong asing.

Penganalisis perjalanan kanan Euromonitor, Wouter Geerts berkata, Asia mempunyai 41 bandar yang disenaraikan dalam 100 destinasi bandar paling dikunjungi dan dijangka sebanyak 47 buah bandar Asia tersenarai dalam carta berkenaan pada 2025.

Katanya, China kekal menjadi negara yang mempunyai bandar paling dilawati pelancong dunia dengan Hong Kong mempunyai kedudukan yang strategik selain memiliki hubungan dengan tanah besar.

“Hong Kong memperlihatkan penyusutan pertumbuhan pada tahun ini berikutan hubu­ngan yang sedikit tegang dengan tanah besar China. Namun, Euromonitor menjangkakan perkara ini hanya bersifat sementara.

“Seoul di Korea Selatan turut menunjukkan penurunan hampir 15 peratus pada 2017 dengan 7.66 juta pelancong dijangkakan pada tahun ini yang mana Euromonitor mengambil kira ketegangan yang berlaku di Korea Selatan dan China,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Pelancongan dan Perjalanan Euromonitor, Caroline Brwemner berkata, keganasan merupakan isu utama yang berlegar-legar di Eropah yang memungkinkan tiada jaminan mana-mana bandar di rantau itu terlepas daripada perbuatan melampau tersebut.


“Kamu perlu menerima hakikat bahawa keganasan akan memberi kesan kepada semua destinasi, jadi kamu jangan terlalu yakin bahawa kedudukan bandar kamu adalah lebih selamat berbanding bandar-bandar lain,” katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.