Terdapat dua rangkaian hotel itu di negara ini yang mana Novotel Melaka menawarkan konsep moden kontemporari terbaharu berbanding dengan cawangan pertama di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Novotel Melaka menyambut ulang tahun penubuhan pertamanya pada 20 September lalu dan rangkaian kedua hotel itu beroperasi di Jalan Melaka Raya, Banda Hilir iaitu di tengah-tengah nadi pusat bandar bersejarah Melaka.

Hotel tersebut cukup strategik kerana menyediakan pelbagai kemudahan termasuk berdekatan dengan kemudahan awam, sekali gus memudahkan pengunjung melihat lokasi menarik berhampiran antaranya A’Famosa dan Gereja St. Paul, Sungai Melaka, Muzium Peranakan Baba dan Nyonya, Tokong Cheng Hoon Teng, Christ Church, Dataran Belanda, Jalan Jonker, Makam Hang Jebat, Muzium Tentera Laut Malaysia dan Muzium Maritim, Istana Kesultanan Melayu dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan.

Pengurus Besar Novotel Melaka, Gilles Tressens berkata, hotel berkonsep moden kontemporari itu menawarkan pemandangan indah Selat Melaka dan persekitaran bandar bersejarah Melaka.

“Pembukaan hotel ini amat bermakna kerana penat lelah semua petugas disempurnakan dengan pembukaan hotel baharu yang berkonsep segar dan istimewa ini,” katanya ketika ditemui S2.

Menurut Tressens, apa yang membuatkan hotel itu amat istimewa adalah kerana lokasinya yang strategik iaitu terletak di tengah pusat bandar serta berdekatan dengan beberapa pusat beli-belah dan pusat pelancongan seperti Dataran Pahlawan.

“Novotel sentiasa mementingkan standard tinggi kepada tetamu yang menginap sama ada bagi tujuan perniagaan atau santai. Bilik yang luas dengan penggunaan teknologi terkini menjanjikan keselesaan kepada pelanggan,” katanya. Hotel itu juga mempunyai lobi seluas 650 meter persegi, sekali gus menjadikannya lobi hotel paling besar di negeri ini.

Bertaraf empat bintang, Novotel Melaka menyediakan sebanyak 351 bilik iaitu Superior, Eksekutif, Eksekutif Premier dan Suites berharga antara RM198++ hingga RM798++ satu malam, iaitu dengan caj cukai barang dan perkhidmatan (GST) tanpa caj cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Antara kemudahan yang disediakan di hotel itu adalah setiap pengunjung yang datang bersama keluarga akan diberi tawaran untuk bilik kedua dengan harga separuh.

Pelbagai kemudahan lain yang tersedia di hotel tersebut ialah kolam renang, pusat kecergasan, bilik tarian besar dan tujuh buah bilik mesyuarat serta restoran, ‘The Square’ dan ‘Gourmet Bar’. Selain itu, terdapat juga bar sukan dan bar kolam renang.

Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan pendingin hawa, televisyen, kopi dan teh, perkhidmatan WiFi, 24 jam perkhidmatan bilik, sudut kanak-kanak, pusat perniagaan, dobi dan 24 jam kawalan keselamatan serta persekitaran bebas asap rokok.

Pastinya percutian di Novotel Melaka menjanjikan kenangan manis kepada pengunjung, kerana bukan setakat dapat menikmati keindahan lokasi pelancongan negeri bersejarah, malah pengunjung bakal merasai khidmat hotel terbaik bertaraf antarabangsa di sini.

Untuk tempahan dan keterangan lanjut, sila hubungi talian 06-2898222 atau layari laman web www.accorhotels.com/Novotel-Melaka.