Mana tidaknya, umum mengetahui rangkaian hotel The Royale Bintang Resort & Spa merupakan antara nama yang gah dalam industri perhotelan khususnya di Malaysia.

Namun dengan sedikit kelainan yang diperkenalkan oleh hotel bertaraf empat bintang ini, sudah pasti ia membuka peluang kepada orang ramai untuk merasai perkhidmatan mewah yang disediakan pada harga berpatutan.

Menerusi kempen Royale ‘Now everyone can enjoy a 4 Star hotel stay’, The Royale Bintang Resort & Spa Seremban menawarkan harga bilik serendah RM140 untuk penginapan dua hari satu malam termasuk bufet sarapan untuk bilik standard.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Komunikasinya, Sofiah Baharuddin, kempen tersebut merupakan kempen sulung hotel berkenaan yang bertujuan menyasarkan pelancong tempatan.

“Di samping itu, kita mahu memberi peluang kepada orang ramai yang berkunjung ke bandar Seremban merasai pengalaman menginap di hotel empat bintang dengan harga rendah.

“Pelancong yang membeli pakej tersebut, mereka turut berpeluang mendapat potongan harga sebanyak 20 peratus untuk makanan dan 30 peratus bagi perkhidmatan spa,” katanya ketika ditemui S2.

Selain pakej penginapan promosi itu, jelasnya, hotel tersebut turut mempunyai pelbagai jenis bilik untuk mereka yang ingin bercuti dan menginap dalam suasana mewah dan eksklusif.

Salah satu daripadanya, adalah dua unit bilik dua tingkat (duplex) bagi pelanggan yang mahu merasai pengalaman berbeza menginap di hotel berkenaan.

Bagi mereka yang ingin membawa ahli keluarga yang ramai, hotel tersebut menyediakan satu unit suite berkeluasan 261 kaki persegi dan di dalamnya terdapat dua bilik dengan katil saiz ‘king’ serta bilik air peribadi setiap satu.
“The Royale Singgahsana Suite menyediakan kemudahan lengkap untuk individu yang mahukan percutian ‘peribadi’ bersama ahli keluarga.

“Hotel ini turut menyediakan satu unit premium suite yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dapur, mesin basuh dan pengering serta balkoni bagi keluarga besar,” katanya.

The Royale Bintang Resort & Spa Seremban menawarkan 345 unit bilik pelbagai kategori termasuk bilik standard (68 unit), deluxe (190 unit), executive (60 unit), executive suite (27).

Selain itu, terdapat juga kemudahan lain disediakan antaranya ruang perniagaan, gimnasium, pusat spa, gelanggang tenis serta kolam riadah.

Bagi pengunjung yang mahu menjamu selera, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan pesanan dan penghantaran ke bilik penginapan atau berkunjung sendiri ke restoran Asiatique, Han Pi Yuen, Sweet Seremban, Coffee Dreamer atau Anjung Lounge.